Tumpuan :
Nasional

Miliki mercun dan bunga api, 2 lelaki didenda RM9,100

Padah memiliki mercun dan bunga api secara haram, Mohd Sofwan Abd Rahman didenda sebanyak RM5,300 manakala Zarul Mustakim Jaya@Sidek didenda sebanyak RM3,800 di Mahkamah Majistret Dungun.

Oleh: Mohd Ishak Abdillah Ngah

DUNGUN: Padah memiliki mercun dan bunga api secara haram, dua lelaki dikenakan denda oleh Mahkamah Majistret Dungun, Terengganu.

Majistret Nur Amira Fatihah Osman, menjatuhkan hukuman itu ke ke atas Mohd Sofwan Abd Rahman, 43, sebanyak RM5,300 dan Zarul Mustakim Jaya@Sidek, 29, sebanyak RM3,800, selepas kedua-dua tertuduh membuat pengakuan bersalah sebaik pertuduhan dibacakan dalam prosiding berasingan terhadap mereka.

Mengikut pertuduhan, Mohd Sofwan, yang merupakan jurukimpal didapati memiliki 300 kotak kecil pelbagai jenis mercun dan bunga api tanpa kebenaran yang sah.

Kesalahan itu dilakukan lelaki itu pada 21 Februari lalu di sebuah stor atau rumah tidak bernombor di Kampung Che Lijah, di sini kira-kira pukul 1 tengah hari.

Zarul Mustakim pula yang merupakan seorang mekanik didapati memiliki 43 jenis mercun dan bunga api juga tanpa permit.

Kesalahan itu dilakukan tertuduh pada 4 Mac lalu di sebuah rumah di Kampung Burung Baru, di sini, kira-kira pukul 12.10 tengah malam.

Masing-masing didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara 7 tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini