Tumpuan :
Nasional

Miliki bahan berkaitan IS, pekerja kilang dipenjara 3 tahun

Suhaini (berbaju hijau) dijatuhi hukuman penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan IS. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Seorang pekerja kilang dihukum penjara tiga tahun bagi setiap pertuduhan selepas mengaku bersalah atas dua tuduhan memiliki bahan berkaitan kumpulan IS.

Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin memerintahkan hukuman penjara atas dua pertuduhan terhadap Suhaina Sarwan, 46, dijalankan secara serentak dari tarikh dia ditahan pada 30 Mei lalu.

Ketika prosiding, peguam Sazlinidayu Kamarul Baharin yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman lebih ringan dengan mengambil kira pengakuan bersalah tertuduh.

“Tertuduh sebelum ini bekerja dengan pendapatan RM2,200. Sudah berkahwin dan mempunyai dua anak selain menanggung bapanya,” katanya.

Selain itu, Sazlinidayu berkata, terdapat kes di Mahkamah Tinggi sebelum ini dijatuhkan hukuman selama dua tahun atas kesalahan yang sama sebagaimana dalam kes pada hari ini.

“Justeru, pihak pembelaan memohon mahkamah mengambil kira trend hukuman semasa. Tertuduh juga sudah insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohammad Fakhrurrazi Ahmad Salim memohon mahkamah mempertimbangkan hukuman yang berat mengambil kira kepentingan awam melebihi daripada kepentingan peribadi tertuduh.

“Menurut fakta kes, hasil laporan pakar mendapati pembaca dan pemilik item seperti ini mempunyai kecenderungan dan dorongan kepada kepercayaan dan tindakan ekstremisme kumpulan IS yang boleh mengancam keselamatan negara.

“Pakar turut menyatakan pemilik item ini juga mempunyai kecenderungan yang jelas untuk menggalakkan penggunaan kekerasan atau aksi ganas IS bagi mencapai objektif perjuangan yang disokong,” katanya.

Mengikut pertuduhan pertama, Suhaini didakwa memiliki artikel berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas di dalam komputer riba.

Kesalahan didakwa dilakukan tertuduh di Jalan Baiduri, Taman Daiman Jaya di sini, kira-kira jam 2.20 petang pada 30 Mei lalu.

Pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki bahan bacaan iaitu lima buku berkaitan kumpulan IS dan perbuatan pengganas dengan kesalahan itu didakwa dilakukan di Blok 9, Felda Lok Heng Barat di sini, kira-kira jam 2.20 petang, 30 Mei lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130JB (1) (a) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 130JB (1) yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda dan dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan dalam melakukan kesalahan itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini