Tumpuan :
Nasional

Miliki air ketum, 5 pekerja kontrak ditahan

Polis menjumpai 1.5 liter disyaki air ketum di dalam sebuah peti sejuk beku di sebuah pejabat kontena di Presint 20, Putrajaya. – FOTO: Ihsan PDRM

PUTRAJAYA: Polis menahan lima pekerja kontrak warga tempatan bersama 1.5 liter (L) cecair disyaki air ketum di sekitar kawasan Presint 20 semalam.

Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed berkata, lima lelaki berusia antara 23 hingga 36 tahun itu ditahan Pasukan Task Force Balai Presint 7 ketika menjalankan pemeriksaan di kawasan itu.

Katanya, ketika pemeriksaan dibuat dalam sebuah kontena yang dijadikan sebagai pejabat telah menjumpai satu plastik lutsinar di dalam plastik hitam yang diletakkan dalam peti sejuk beku mengandungi air disyaki ketum anggaran 1.5 L.

“Orang Yang Disyaki (OYDS) telah diserahkan kepada cawangan narkotik IPD Putrajaya berserta barang rampasan untuk tindakan selanjutnya,” katanya ketika dihubungi.

Aidi Sham menambah, OYDS direman tiga hari bermula semalam sehingga Jumaat dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Katanya, OYDS ditahan bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut berkenaan kes terbabit.

Dalam pada itu beliau turut menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berkenaan sebarang kegiatan atau kejadian jenayah menyalurkannya kepada IPD Putrajaya di talian 03-8886 2144/2145.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini