comscore
Tumpuan :
Nasional

MIHAS@DUBAI: MARA sasar potensi jualan cecah RM100 juta

Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

DUBAI: Majlis Amanah Rakyat MARA mensasarkan untuk meraih potensi jualan mencecah RM100 juta melalui penyertaan 17 usahawan Program Gate to Global (GTG) di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) @ Dubai 2024.

Pengerusinya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, pameran itu menyediakan peluang besar kepada usahawan mempromosikan produk serta meneroka pasaran luar dengan menjadikan Dubai sebagai gerbang ke negara Timur Tengah.

Jelasnya, usahawan GTG yang turut serta dalam pameran itu menawarkan produk makanan dan minuman serta berasaskan kesihatan.

“Bila masuk ke peringkat antarabangsa seperti ini kita bukan saja mahu pendedahan tapi kita juga mahu potensi jualan, sebab tu saya katakan kita mahukan peningkatan jualan sebanyak 20-30 peratus daripada apa yg mereka ada.

“Ini bukan syarikat-syarikat baru yang bertapak tapi mereka sudah ada produk dan ada dipasaran domestik. Ada juga produk yg dah berada di peringkat antarabangsa lebih daripada di domestik,” jelas beliau pada sidang media sempena penganjuran MIHAS @ Dubai 2024 yang berlangsung dari 18 hingga 20 November di Dubai World Trade Centre.

“Setakat ini, 218 usahawan daripada program GTG telah berjaya menjana hasil jualan bernilai RM394 juta dalam tempoh tiga tahun lalu”.

Sementara itu, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan acara yang julung-julung kali diadakan itu menarik kira-kira 250 syarikat Malaysia, yang juga bertepatan dengan Ekspo Organik dan Produk Asli Timur Tengah dari 18-20 November, 2024.

Menurut MATRADE, MIHAS@Dubai akan digunakan untuk memanfaatkan potensi besar pasaran halal di Timur Tengah, seterusnya mengukuhkan statusnya sebagai pameran perdagangan yang diiktiraf di peringkat global.

Selain itu, MATRADE berkata acara berkenaan juga memainkan peranan penting meletakkan Malaysia sebagai negara terkemuka di peringkat antarabangsa dalam landskap halal.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijadualkan merasmikan acara terbabit Isnin ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini