comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

‘Midlife crisis’: Fasa kehidupan atau sekadar mitos?

Foto hiasan

Oleh: Azzarouq Zulkiply

PERNAHKAH ANDA MENGHADAPI ‘MIDLIFE CRISIS’?

Keinginan mengecapi sesuatu di peringkat umur tertentu adalah lumrah kehidupan.

Lazimnya apabila mencecah satu-satu peringkat umur, terlintas di hati dan fikiran untuk mengecapi sesuatu yang sudah sekian lama diinginkan, namun belum dapat direalisasikan.

Sebagai contoh, perkongsian rakan atau kenalan yang berjaya mendapat kereta idaman di media sosial, sedangkan kita belum mampu mengecapinya. Lalu wujud sedikit rasa cemburu, sedangkan sebenarnya ia hanyalah bebanan fikiran yang tidak perlu.

Ia juga mendorong perbandingan hidup dengan orang lain, dari segi kerjaya, pendidikan atau rumah tangga.

Antara ‘midlife crisis’ yang dialami ialah membandingkan hidup kita dengan hidup orang lain melalui kandungan media sosial. – Foto hiasan

‘Midlife crisis’ atau krisis pertengahan kehidupan bukanlah satu penyakit atau ‘disorder’, tetapi lebih kepada kesan psikologi yang dialami dalam diri sendiri.

Meskipun ia fitrah manusia, namun janganlah hingga memakan diri.


‘MIDLIFE CRISIS’ MENURUT WHO DAN PAKAR PSIKOLOGI

Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), kebanyakan manusia akan hidup lama. Tempoh kehidupan manusia adalah lebih kurang 60 tahun dan ke atas.

Jika dikaitkan dengan krisis pertengahan usia, kebanyakan orang yang mengalami ‘midlife crisis’ berada dalam lingkungan umur 40 hingga 60 tahun. Dalam umur ini, ada banyak perkara yang bermain dalam fikiran tentang kehidupan.

Antara ‘midlife crisis’ yang dialami ialah mencari kerja yang stabil untuk kelangsungan hidup. – Foto hiasan

Menurut Psikologis Klinikal di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Mohamed Nasrun Mohamed Zikrillah, ‘midlife crisis’ merujuk kepada keadaan individu yang melalui transisi kehidupan dari zaman muda ke zaman yang lebih berusia. Kebiasaannya, ia berlaku antara umur 40 ke 60 tahun. Krisis ini berlaku apabila seseorang mula mencari hala tuju hidup yang lebih stabil dan kekal.

Psikologis Klinikal di Pusat Pakar Psikologi Jiwadamai, Mohamed Nasrun Mohamed Zikrillah

“Berbanding di usia muda, kita lebih banyak peluang untuk mencuba banyak benda. Namun di peringkat pertengahan usia, kita lebih fokus kepada mencari sesuatu yang lebih stabil seperti status kerja, hubungan dan keluarga. Namun, bila kita tidak mampu mencapai kestabilan ini, kita mula risau dan ia menjadi krisis kehidupan,” katanya.

Ditanya sama ada keadaan ini boleh terjadi ketika usia muda, beliau menjelaskan, “Kebiasaannya, pada usia muda seperti 20-an, pencarian identiti diri dan hala tuju kehidupan digelar ‘quater-life crisis’.

‘Midlife crisis’ juga boleh berlaku di awal 20-an atau dikenali sebagai ‘quarter-life crisis’. – Foto hiasan

Menurut Mohamed Nasrun, kedua-dua jantina mempunyai risiko yang saman namun faktor yang mungkin sedikit berbeza. Lelaki secara psikologinya mempunyai risiko dalam mencari kestabilan hidup, tanggungjawab keluarga dan kestabilan ekonomi, manakala perempuan pula lebih ke arah perhubungan dan kekeluargaan. Selain itu, menopaus dan perubahan hormon juga boleh menjadi faktornya.


FAKTOR YANG MENYEBABKAN ‘MIDLIFE CRISIS’

Seperti mana yang kita tahu, ‘midlife crisis’ ini terjadi disebabkan kesan psikologi tetapi terdapat juga faktor-faktor yang boleh menjurus kepada krisis tersebut.

Tekanan berpasangan atau harapan tinggi daripada keluarga dan rakan boleh menjadi faktor ‘midlife crisis’. – Foto hiasan

Mohamed Nasrun berkata, “Cara kita dibesarkan, tekanan atau harapan tinggi daripada keluarga, sokongan pasangan serta perbandingan pencapaian kawan-kawan dan masyarakat, antara faktor pendorong.”


MITOS DAN STEREOTAIP ‘MIDLIFE CRISIS’

Terdapat juga mitos dan stereotaip tentang ‘midlife crisis’ yang selalu menjadi perbualan dalam kehidupan seharian. Ramai menganggap ‘midlife crisis’ sebagai penyakit yang sudah tentunya jauh daripada kebenaran.

Mohamed Nasrun mentafsirkan, ramai menganggap krisis ini sebagai masalah kecelaruan psikologi, tetapi sebenarnya ia bukanlah kecelaruan mental. Sebaliknya lebih kepada dilema atau krisis kehidupan.

“Ada juga yang mengaitkan krisis ini dengan hal-hal kebendaan. Namun sebenarnya ia boleh merangkumi semua aspek termasuk kerjaya, perhubungan dan sebagainya.”


‘MIDLIFE CRISIS’ DAN KERJAYA

Tidak kira kerjaya, krisis pertengahan usia boleh terjadi kepada sesiapa sahaja.

Penyampai Berita TV3, Asrulnizam Kadir

Penerbit dan penyampai berita, Asrulnizam Kadir memberitahu Buletin TV3, “Manusia normal pasti akan alami ‘midlife crisis’ dan mungkin berlaku dalam kita sedar atau tidak. Yang berlaku pada saya adalah dalam pertengahan 20-an (ketika peralihan alam pengajian ke alam pekerjaan).

“Pada fasa berkenaan, kita tercari-cari identiti dan pembawaan diri kita. Pada masa itu, tuntutan kerja yang memerlukan kita bekerja dengan sekumpulan orang yang ramai dan perlu bermesra dengan individu dari pelbagai latar belakang, agak mempengaruhi perwatakan.

“Contohnya, ketika bergaul bersama rakan-rakan, kita akan jadi diri kita yang normal dan seadanya. Tetapi apabila bergaul dengan orang yang ada kedudukan (‘public figure or prominent’), kita rasa perlu sesuaikan perwatakan dan harus menjaga tutur kata. Pada ketika itu, ‘midlife crisis’ ni berlaku tanpa sedar. Adakah kita harus menjadi diri kita yang sendiri atau berubah jadi orang lain atas tuntutan kerja?”

Asrul ketika membuat lintas langsung di Karnival Jom Heboh di Putrajaya baru-baru ini.

Penyampai berita itu juga berkongsi sasarannya untuk mencapai sesuatu pada umur tertentu.

“Sebagai contoh, selepas belajar dalam umur 24-25 sekurang-kurangnya, saya perlu ada aset. Pada ketika itu, saya baru bekerja tiga bulan dan saya sudah beli Superbike, walhal bukan keperluan pun.”

Asrul juga menyasarkan untuk menjadi penerbit ketika berumur 28 tahun, namun ia tidak dapat dikecapi, menyebabkannya kecewa.

“‘Midlife crisis’ ini pasti akan berlaku tidak kira apa jalan pun yang kita pilih dalam hidup, cuma ianya akan diklasifikasikan serius atau tidak serius. Pada pandangan saya, ia normal kalau berlaku, asalkan kita tahu apakah arah tujuan kita supaya selari dengan gaya hidup kita.”

Dalam mengatasi krisis sebegini, Asrul berkongsi, seseorang individu itu perlu sedar tentang krisis yang dihadapi, selain  berfikiran matang dalam mempertimbangkannya.

“Tidak semua perkara yang kita mahu atau sasarkan akan dapat digenggam pada peringkat usia tertentu. Jadi, kita perlu sesuaikan apa yang kita mampu buat dan dapat, supaya krisis yang kita hadapi tidak memakan diri dan sentiasalah berbalik kepada Allah SWT,” katanya.


5 TIP MENGUBAH ‘MIDLIFE CRISIS’ MENJADI PERMULAAN BAHARU

Berikut adalah beberapa tip atau panduan yang boleh digunakan dalam menangani ‘midlife crisis’ dalam kehidupan seharian kita, berdasarkan sumber healthline.com.

  1. Catat perubahan dalam hidup anda dan raikannya

Foto hiasan

Perubahan dalam kehidupan memang tidak dapat dielak. Oleh itu, beri masa untuk melalui proses-proses perubahan yang berlaku dan janganlah terlalu menghukum diri. Sebaliknya, raikan perubahan tersebut. Walaupun momen-momen ini mungkin rasa menakutkan, ia adalah peluang untuk menyusun aturan hidup yang signifikan kepada diri kita.

  1. Belajar sesuatu yang baharu

Foto hiasan

Perkara yang mendatangkan faedah seperti menimba ilmu, tidak pernah terlambat untuk dilakukan. Sebagai contoh, dengan menyibukkan diri memulakan sesuatu hobi, ia dapat mengurangkan bebanan perasaan yang tidak perlu. Hobi atau belajar benda baharu juga mampu menyegarkan semangat untuk mengintai peluang atau menginjak ke dunia baharu.

  1. Eratkan hubungan dengan keluarga & rakan

Sentiasa bergaul dengan keluarga dan rakan. – Foto hiasan

Ramai orang berpendapat bahawa semakin di pertengahan usia, semakin kita jauh dari keluarga dan rakan atau kurang bersosial. Oleh itu, salah satu cara terbaik untuk bina semula skil sosial adalah dengan menghubungi keluarga dan rakan untuk mengukuhkan ikatan. Mereka ini mampu memberi sokongan emosi dan meningkatkan kesejahteraan diri.

  1. Cari cara baharu untuk kekal aktif

Meneroka hobi baharu mampu untuk membuat kita kekal aktif. – Foto hiasan

Memilih untuk kekal aktif dengan melakukan senaman ringan juga dapat membantu mengurangkan krisis pertengahan umur. Pada masa sama, ia dapat meningkatkan mood dan mengurangkan stres.

  1. Menerima perubahan dengan sikap terbuka

Sentiasa mempunyai usaha untuk perbaiki diri dalam menerima pendapat dengan lebih terbuka. – Foto hiasan

Sikap adalah penting untuk membuat satu perkara. Mempunyai sikap terbuka membolehkan anda menerima pendapat dengan lebih baik, malah mampu mengintai peluang yang lebih besar.

Krisis pertengahan umur tidak semestinya dianggap sebagai tempoh yang penuh dengan kegelisahan dan kesulitan.

Sebaliknya, ia boleh menjadi titik tolak untuk sebuah permulaan yang baharu dan lebih bermakna.

Ingat, sikap positif dan tindakan proaktif anda adalah kunci untuk menjadikan krisis pertengahan umur sebagai lonjakan ke arah pertumbuhan dan kepuasan hidup yang baharu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini