Tumpuan :
Nasional

‘Microsleep’ mungkin punca pegawai kanan polis rempuh penunggang motosikal

Keadaan motosikal Honda Wave dan kenderaan utiliti sukan (SUV) yang terbabas ke dalam parit sehingga mengorbankan seorang kakitangan klinik kesihatan, Selasa lalu. Foto Ihsan Pembaca

Oleh Hilmi Abdul Malik

SHAH ALAM: Polis mengesahkan insiden rempuhan sehingga mengorbankan seorang penunggang motosikal dalam kejadian di Kuala Selangor pada Selasa lalu melibatkan seorang pegawai kanan di Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia, Bukit Aman.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan berkata, kemalangan maut yang tular itu kemungkinan berpunca akibat pegawai berkenaan yang terlelap ketika memandu.

“Saya sahkan lelaki itu pegawai kanan yang bertugas di Bukit Aman. Kalau ikut video nampak macam dia terlelap (microsleep)..bagaimanapun kita tunggu siasatan pihak trafik.

“Ada beberapa video viral saya boleh beri jaminan polis akan siasat dengan telus dan adil sekiranya dia didapati bersalah, kita akan ambil tindakan sewajarnya,” katanya yang ditemui pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata siasatan telah dimulakan dan akan dirujuk ke pihak pendakwa raya secepat mungkin.

Hasil saringan ujian air kencing bagaimanapun mendapati lelaki berkenaan negatif dadah.

“Ketika ini, pegawai berkenaan juga sedang menerima rawatan di hospital susulan kecederaan yang dialaminya.

“Pihak polis juga akan melihat keperluan sama ada untuk menahan pegawai berkenaan atau sebaliknya,” jelasnya.

Ujarnya, polis juga akan mendapatkan keterangan saksi termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

Pada Selasa lalu, mangsa yang juga merupakan kakitangan klinik kesihatan maut apabila motosikal ditunggangnya dirempuh kenderaan utiliti sukan (SUV) di Kilometer 32, Jalan Klang-Teluk Intan, Jeram.

Mangsa dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya dari Klang menuju ke Kuala Selangor.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini