KUALA LUMPUR: Metro Rangers muncul juara Kejohanan Boling sempena Karnival Sukan Media Prima Berhad (MPB) 2024 di Wangsa Bowl, Bandar Utama petang semalam.
Sebanyak 32 pasukan dari pelbagai jabatan di Kumpulan Media Prima bersaing dalam acara berkenaan.
Juara membawa pulang hadiah wang tunai RM1,000 dan piala. Tempat kedua dimenangi Kelab Media Prima (MPC 3 in 1) dan ketiga pasukan dari jabatan Sumber Manusia (GHR B).
Sementara itu, kategori individu lelaki dimenangi Rizal Aris, manakala kategori wanita digondol Sharifah Omar.
Hadiah disampaikan oleh Pengurus Besar Sumber Manusia Kumpulan Media Prima, Nor Arzlin Redzwan.
Nor Arzlin dalam ucapannya menzahirkan terima kasih kepada sokongan peserta dan menyifatkan program ini dapat mengeratkan ukhwah dalam kalangan staf pelbagai jabatan di kumpulan Media Prima.
Selain boling, karnival sukan antara jabatan ini turut mempertandingkan acara badminton, futsal, bola tampar dan golf.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.