Tumpuan :
Nasional

METMalaysia ramal episod luruan monsun 16-20 Disember, potensi cetus hujan berterusan

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Jabatan Meteotrologi Malaysia (METMalaysia) meramalkan episod luruan monsun seterusnya akan berlaku antara 16 hingga 20 Disember depan yang berpotensi menyebabkan hujan berterusan.

Melalui kenyataan hari ini, METMalaysia memaklumkan potensi hujan berterusan bagi tempoh berkenaan akan meliputi kawasan timur Semenanjung, selatan dan barat Sarawak, selain timur Sabah.

Terdahulu, METMalaysia turut mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di beberapa kawasan sehingga esok membabitkan Perlis, Kedah, Perak, Kelantan dan Terengganu.Di Kedah, amaran dikeluarkan membabitkan beberapa daerah termasuk Langkawi, Kubang Pasu, Kota Setar, Pokok Sena, Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Amaran sama turut membabitkan Hulu Perak di Perak; Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai di Kelantan serta Besut, Setiu, Kuala Nerus dan Kuala Terengganu di Terengganu.

METMalaysia sebelum ini mengeluarkan amaran hujan berterusan tahap waspada di tujuh negeri, termasuk kawasan Pantai Timur yang sering terjejas akibat musim tengkujuh.

Musim tengkujuh biasanya berlangsung antara November hingga Mac membawa risiko hujan berterusan terutama di negeri pantai timur Semenanjung Malaysia.

Dalam pada itu, METMalaysia melalui kenyataan dikemaskini jam 1.30 tengah hari meramalkan potensi hujan berterusan di timur dan utara Semenanjung pada hari ini dan esok.

Ia berdasarkan kepada analisis model cuaca terkini yang menunjukkan satu sistem cuaca bertekanan rendah terbentuk di Laut China Selatan yang bergerak merentasi sempadan Malaysia-Thailand sepanjang tempoh berkenaan.

Sehubungan itu, METMalaysia melalui kenyataan hari ini mengemas kini amaran hujan berterusan tahap waspada yang melibatkan timur dan utara Semenanjung berkuat kuasa sehingga esok.

Orang awam dinasihatkan sentiasa merujuk laman web www.met.gov.my dan media sosial rasmi METMalaysia, selain memuat turun aplikasi myCuaca bagi maklumat terkini dan sahih.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini