KUALA LUMPUR: Dr Mohd Hisham Mohd Anip dilantik sebagai Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) yang baharu berkuat kuasa hari ini.
Mohd Hisham sebelum ini adalah Timbalan Ketua Pengarah (operasi) METMalaysia.
METMalaysia dalam kenyataan memaklumkan pelantikan Mohd Hisham sebagai Ketua Pengarah yang ke-11 adalah antara usaha kerajaan untuk memperkasakan penyampaian perkhidmatan jabatan sebagai agensi peneraju unggul dalam bidang meteorologi, iklim dan geofizik di peringkat negara dan antarabangsa.
“Sepanjang 30 tahun berkhidmat, beliau sudah bertugas dalam pelbagai cabang meteorologi meliputi ramalan cuaca, latihan, ICT, instrumentasi dan pengurusan kualiti.
“Dengan pengalaman yang luas dalam bidang sains meteorologi, beliau turut dilantik untuk menganggotai pelbagai jawatankuasa dan kumpulan kerja pakar teknikal di peringkat nasional serta antarabangsa melibatkan bidang pengurusan bencana, ramalan cuaca dan banjir, perubahan iklim serta penyelidikan,” kata kenyataan itu.
Mohd Hisham, 55, berkelulusan Sarjana Muda dalam bidang Sains Matematik dari Universiti Malaya, serta Sarjana dan Doktor Falsafah bidang Sains Atmosfera dari Universiti Missouri, Amerika Syarikat.
Beliau memulakan kerjayanya dengan berkhidmat di Jabatan Meteorologi sejak 4 Mac 1994.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.