Tumpuan :
Nasional

Meta siasat isu penurunan hantaran PM berkaitan Ismail Haniyeh

KUALA LUMPUR: Meta Platforms Inc (Meta) sedang menyiasat isu penurunan hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh di platform media sosial Facebook.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dimaklumkan sendiri oleh wakil Meta kepada beliau melalui hantaran mesej pada kira-kira jam 3.30 petang tadi.

“Mereka pun beritahu mereka agak keliru kenapa perkara itu berlaku dan setakat ini, itu sahaja maklumat yang diberikan, tiada penjelasan lanjut.

“Jadi kita beri mereka masa, tak ada deadline, biar mereka siasat dan komunikasi (bersama Meta) pun sedang berjalan, saya akan semak dan sekiranya ada apa-apa perkembangan lanjut, saya akan maklum melalui kenyataan media,” katanya kepada pemberita.

Foto: Anwar Ibrahim / Facebook

Beliau ditemui selepas Majlis Perasmian Penutup Youth Content Maker Lab 2.0 di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR) di sini hari ini.

Mengulas lanjut Fahmi berkata, beliau difahamkan penurunan hantaran berkaitan Hamas dan kematian Ismail Haniyeh juga berlaku kepada bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Jadi kita nampak mungkin ada satu trend, kita cuba nak fahamkan siapa terkesan dan kenapa ia berlaku, kita nak tahu apa tindakan Meta untuk elakkan perkara ini berlaku lagi pada masa hadapan,” katanya.

Media Iran melaporkan bahawa pemimpin Palestin itu terbunuh dalam serangan udara didakwa dilakukan oleh Israel yang mensasarkan lokasi penginapannya di utara Tehran sekitar 2 pagi waktu tempatan semalam.

Ismail Haniyeh berada di Tehran untuk menghadiri majlis angkat sumpah Presiden baru Iran Masoud Pezeshkian.

Sementara itu, diminta mengulas mengenai kerangka kawal selia atau perlesenan perkhidmatan media sosial yang diperkenal hari ini dan berkuat kuasa tahun depan, Fahmi berkata kerajaan buat masa ini tidak berhasrat meluaskan peraturan tersebut kepada pempengaruh serta pencipta kandungan.

“Berbeza bagi syarikat perfileman dan penggambaran yang perlu ada lesen daripada Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia), untuk pempengaruh dan pencipta kandungan kita lihat belum ada keperluan.

“Namun saya ingin tegaskan mereka perlu celik undang-undang, contohnya nak buat kandungan promosi ubat-ubatan atau produk kesihatan, faham dahulu produk itu serta tahu literasi perundangan berkaitan sektor kesihatan bagi mengelak daripada melakukan kesalahan,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini