comscore
Tumpuan :
Nasional

META mohon maaf kesilapan terjemahan berkait pertabalan Agong

Oleh: Ridhwan Rusydi Azri Roslan

PETALING JAYA: META memohon maaf atas kesilapan terjemahan automatik menerusi satu hantaran di Facebook berkaitan Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di Istana Negara, seperti yang ditularkan semalam.

Dalam satu kenyataan di laman Facebook, Pengarah Dasar Awam META Asia Tenggara, Rafael Frankel, berkata pihaknya mengambil maklum kesilapan terjemahan yang terjadi daripada Bahasa Melayu ke Bahasa Inggeris.

Beliau akui, terjemahan itu menjejaskan catatan di Facebook RTM berkaitan istiadat pertabalan Yang Di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan hari keputeraan Isteri Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Che’ Puan Khaleeda Bustamam.

“Kami sudahpun menyelesaikan kesilapan teknikal ini.

“Kami amat menghormati Kerabat Diraja Malaysia dan memohon maaf dengan ikhlas kepada RTM, Majlis Diraja Johor dan mereka lain yang terkesan dengan acara ini,” katanya menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan petang tadi.

Semalam, Radio Televisyen Malaysia (RTM) menjelaskan bahawa pihaknya tidak memuat naik sebarang maklumat rasmi dalam bahasa Inggeris berhubung Istiadat Pertabalan Yang di-Pertuan Agong ke-17 di istana Negara pada Sabtu, seperti yang ditularkan, sebaliknya
memaklumkan bahawa apa yang dipaparkan di laman Facebook Rasmi RTM adalah terjemahan automatik oleh sistem Facebook.

Malah, RTM sudah membuat laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga sudah menghubungi META berkaitan salah terjemahan oleh sistem META itu.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini