KUALA LUMPUR: Meta memberi jaminan hanya ketua negara dan ketua kerajaan akan diberi pertimbangan khas, daripada dikenakan tindakan kandungan diturunkan membabitkan isu Palestin di platform media sosial.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, Meta memberi jaminan itu secara lisan kepada beliau sendiri, dalam satu pertemuan bersama pasukan itu di Putrajaya.
“Pihak Meta telah memaklumkan, bagi ketua negara ataupun ketua kerajaan dan pegawai-pegawai ataupun menteri-menteri memang diberikan satu.. boleh kata, bukan satu kedudukan yang khas, tapi pertimbangan yang khas bila membincangkan soal Palestin.
“Ini yang telah dijamin kepada saya secara lisan, oleh pegawai yang agak tinggi di pihak Meta. Jadi saya nak lihat mereka menterjemah ‘to walk the talk’,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita, ketika ditemui selepas merasmikan kempen #KasiJadi J&T Express dan ulang tahun keenam syarikat penghantaran antarabangsa itu di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan, tindakan menurunkan ucapan takziah dan kritikan atas pembunuhan Ketua Biro Politik Hamas, Ismail Haniyeh daripada laman Facebook dan Instagram sebagai biadab serta menghina perjuangan rakyat Palestin.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.