Tumpuan :
Nasional

Meta berdepan tindakan perundangan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan mengambil tindakan terhadap syarikat induk Facebook iaitu Meta kerana kegagalan bertindak dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka.

Menerusi kenyataan hari ini, MCMC memaklumkan, platform Facebook sejak akhir-akhir ini dibelenggu jumlah kandungan memudaratkan yang signifikan membabitkan elemen kaum, institusi diraja, dan agama (3R), penyamaran, judi dalam talian serta iklan penipuan.

“Lantaran itu, pihak MCMC telah menghubungi pihak Meta untuk menurunkan kandungan yang dimaksudkan daripada platformnya.

“Namun, disebalik permohonan berulang kali daripada pihak MCMC, Meta gagal mengambil tindakan secukupnya dalam menangani isu berkaitan kandungan memudaratkan pada platform mereka dan tidak bekerjasama sepenuhnya dalam menurunkan kandungan tersebut,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut menjelaskan, maklum balas pihak Meta yang lembap dan kurang memuaskan adalah tidak setimpal dengan keseriusan perkara berkenaan sekali gus mengundang kebimbangan serta penelitian awam.

“Memandangkan tahap kerjasama yang diberikan oleh Meta adalah tidak memadai, pihak MCMC tidak teragak-agak untuk mengambil langkah definitif atau tindakan perundangan terhadap Meta sebagai langkah untuk memastikan pengguna dilindungi dan mempunyai persekitaran selamat dalam alam digital,” menurut kenyataan itu.

MCMC berkata, tindakan terbabit adalah perlu dalam menyemaikan kebertanggungjawaban untuk keselamatan siber, selain memperkasakan perlindungan pengguna terhadap kandungan memudaratkan termasuk aktiviti penipuan.

“MCMC tidak akan berkompromi terhadap sebarang perbuatan menyalah guna platform dalam talian dan telekomunikasi, rangkaian atau kemudahan dalam talian secara berterusan untuk aktiviti siber berniat jahat, ‘phishing’ ataupun sebarang kandungan yang menganggu gugat kestabilan kaum, keharmonian sosial serta penghinaan terhadap institusi diraja,” kata kenyataan itu.

Loading...
Terkini