comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat pertama pasukan petugas sentuh konsep ‘pengangkatan pokok’ – Dr Zaliha

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Konsep ‘pengangkatan pokok’ dan potensi untuk menubuhkan satu tabung dana amanah kawasan hijau bagi menggalakkan perkongsian awam-swasta, adalah antara inti pati perbincangan mesyuarat pertama pasukan petugas pengurusan pokok berisiko di Kuala Lumpur yang diadakan hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pendekatan ‘whole-of-nation’ itu berupaya meningkatkan kompetensi landskap hijau di samping mengekalkan peratusan kawasan hijau di Kuala Lumpur sebagaimana disasarkan oleh Pelan Struktur Kuala Lumpur 2040.

“Perkongsian ilmu dan maklumat diharapkan dapat menghasilkan satu garis panduan lebih komprehensif serta mengambil amalan terbaik dari negara lain dalam penyelenggaraan dan pengurusan pokok teduhan di Kuala Lumpur.

“Ia juga dapat membantu dalam perkongsian data bagi menambah baik sistem pemetaan e-pokok sedia ada di DBKL dalam merekodkan data inventori pokok, daftar pokok berusia, penanaman pokok baru dan kerja-kerja penyelenggaraan pokok dan kini telah pun merekodkan sebanyak 236,551 batang pokok-pokok yang ditanam di seluruh Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan hari ini.

FOTO: Dr Zaliha Mustafa / Facebook

Selain Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) selaku peneraju, mesyuarat itu turut melibatkan anggota akademik dari Universiti Putra Malaysia, Institut of Lanscape Architecs Malaysia (ILAM), Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Persatuan Arboris Malaysia dan beberapa agensi kerajaan termasuk Jabatan Wilayah Persekutuan, Jabatan Landskap Negara, Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam Kuala Lumpur.

Menurut Dr Zaliha, pasukan petugas itu juga perlu meneliti pelan penggantian pokok dengan memberi fokus kepada Program Penanaman 1 Juta Pokok di Kuala Lumpur dan memberi perhatian kepada faktor antaranya spesies pokok, ruang penanaman pokok dan kedalaman akar.

Penubuhan pasukan petugas itu susulan beberapa kejadian pokok tumbang akibat hujan lebat dan angin kencang termasuk pada 7 Mei lepas yang meragut nyawa seorang lelaki dan menghempap 17 kenderaan serta landasan Monorel di Jalan Sultan Ismail.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini