comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat pertama kajian sistem saraan perkhidmatan awam Isnin depan

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA)

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Pembaharuan Perkhidmatan Awam (JKK-PPA) akan diadakan pada Isnin depan (7 Ogos) dan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dalam satu kenyataan memaklumkan mesyuarat itu akan membincangkan Kajian Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) sebagai inisiatif pembaharuan dalam perkhidmatan awam seiring dengan aspirasi Membangun Malaysia MADANI.

Ketika ini, JPA sedang memperhalusi cadangan yang dikemukakan kementerian, jabatan dan agensi.

“Usaha ini telah digerakkan mulai 26 Julai lalu melalui beberapa sesi libat urus JPA bersama kementerian serta agensi kerajaan persekutuan yang merangkumi enam kluster iaitu keselamatan, kesihatan, pendidikan, sains dan teknologi, teknikal serta pengurusan,” menurut kenyataan itu.

13 Julai lalu, Anwar ketika berucap pada Program Cakna MADANI Perdana Menteri Bersama Agensi Penguatkuasaan mengakui selepas lebih 10 tahun, belum ada jawatankuasa khusus yang dipengerusikan pemimpin tertinggi negara untuk mengkaji semula skim saraan penjawat awam yang masih terlalu rendah.

Untuk tujuan itu, ujarnya, beliau akan mempengerusikan mesyuarat pertama bersama Ketua Setiausaha Negara dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam untuk meneliti keseluruhan skim perkhidmatan dan saraan penjawat awam.

Mengulas lanjut, JPA berkata satu portal khusus dibangunkan untuk menerima input daripada seluruh penjawat awam bagi memastikan cadangan penambahbaikan yang diterima bersifat terangkum serta inklusif.

Segala cadangan penambahbaikan serta pembaharuan boleh dikemukakan melalui portal kajian SSPA menerusi laman sesawang https://semakansaraan.jpa.gov.my.

“JPA komited menjaga kebajikan penjawat awam dengan menambah baik sistem saraan secara komprehensif bagi memastikan perkhidmatan awam berdaya tahan dalam mendepani cabaran di masa hadapan,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini