comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mesyuarat NACCOL putuskan harga kawalan beras Jumaat depan – Armizan

 

Oleh: Safwan Sawi

PAPAR: Isu harga kawalan beras, akan menjadi salah satu agenda utama pada Mesyuarat Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL) Jumaat depan yang akan dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara itu disahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali selepas mendapat pengesahan mengenainya dari Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

“Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan diadakan pada Jumaat depan, 23 Februari 2024. Mesyuarat ini akan dipengerusikan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) selaku urusetia NACCOL telah mendapat pengesahan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) bahawa salah satu perkara yang akan diangkat untuk pertimbangan adalah berkaitan bekalan beras negara,” katanya.

Armizan yang juga Ahli Parlimen Papar berkata demikian selepas hadir pada Majlis Berkhatan Peringkat Dewan Undangan Negeri DUN N.28 Kawang di Masjid Al-Falah Kampung Pengalat Kecil, Papar.

Tambahnya, sejak berkuatkuasanya Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522), kuasa kawal selia padi dan beras termasuk berkaitan hala tuju bekalan dan harga adalah terletak di bawah KPKM.

Menurutnya lagi sebarang perubahan yang melibatkan dasar dan program kerajaan yang terkait dengan industri padi dan beras adalah di bawah tanggungjawab Menteri KPKM sejajar dengan Perintah yang dikeluarkan di bawah Akta Fungsi-Fungsi Menteri 1969.

“Tanggungjawab itu adalah kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan jadi sebarang pengumuman rasmi akan dibuat menteri atau wakil dipertanggungjawabkan oleh beliau sebaik sahaja keputusan dibuat NACCOL kemudian dibawa ke jemaah menteri sekiranya keputusan itu besar dan melibatkan implikasi kewangan,” katanya.

Jumaat lalu Datuk Seri Anwar berkata, mesyuarat yang sepatutnya bersidang lebih awal, ditangguhkan ke minggu depan bagi memasukkan hal yang lebih mendesak seperti harga kawalan beras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini