Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Menteri Luar ASEAN bermula hari ini

ALOR SETAR: Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN (AMM) yang bermula hari ini menandakan permulaan rasmi peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Mesyuarat dua hari bertemakan Inclusivity and Sustainability itu mencerminkan aspirasi Malaysia untuk membentuk komuniti ASEAN yang bersatu dan makmur.

Dalam melaksanakan tanggungjawab berkenaan, kemampuan Malaysia di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan diuji, terutama dalam mengemudi agenda serantau dari aspek sosial dan ekonomi.

Malaysia dijadualkan menjadi tuan rumah kepada 323 mesyuarat ASEAN, termasuk acara kemuncak, Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober depan.

Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Melaka, Shafezah Abdul Wahab, berkata Malaysia perlu memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk mengukuhkan kedudukan diplomatik dan ekonominya.

“Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN kali ini adalah permulaan kepada peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan pembuka tirai kepada lebih banyak pertemuan penting serantau. Peranan itu boleh digunakan Malaysia untuk memperkukuh hubungan diplomasi serantau, termasuk merungkai krisis berterusan di beberapa negara ASEAN,” katanya.

Beliau turut menekankan kepentingan sokongan pelaburan luar bagi memastikan kemajuan ASEAN sebagai wilayah yang membangun. Katanya, kuasa ekonomi seperti China, Korea Selatan, Jepun, dan negara Barat adalah antara penyumbang utama yang perlu terus diraih.

“Peluang ini wajar dimanfaatkan untuk mempromosikan Malaysia sebagai negara stabil dan mesra pelaburan asing. Namun, Malaysia perlu berhati-hati memastikan kestabilan serantau dipelihara, dan semua negara ASEAN mendapat manfaat bersama,” jelasnya.

Dari sudut ekonomi tempatan, Penasihat Persatuan Peniaga Cina Langkawi, Lee Han Eng, berkata penganjuran mesyuarat ASEAN memberi rangsangan besar kepada ekonomi setempat.

Beliau menyatakan bahawa acara seperti itu membuka peluang kepada komuniti perniagaan untuk berkembang dan menarik perhatian antarabangsa.

“Penganjuran ini membantu mengenali Langkawi sebagai pulau bebas cukai dan destinasi peranginan bertaraf dunia seperti Bali dan Phuket. Impaknya amat positif kepada ekonomi tempatan dan penduduk setempat,” katanya.

Loading...
Terkini