Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja-Raja Melayu berangkat ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-263 (Khas) di Istana Negara bagi urusan menentukan Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Pemilihan itu, bagi menggantikan Al-Sultan Abdullah yang akan menamatkan penggal sebagai Yang di-Pertuan Agong Ke-16.
Mesyuarat bersidang pada jam 10.10 pagi itu dipengerusikan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin.
Kesemua Raja-Raja Melayu juga akan melakukan proses pengundian bagi memilih Yang di-Pertuan Agong ke-17.
Difahamkan keputusan pemilihan akan diumumkan pihak Istana Negara dalam satu kenyataan, petang nanti.
Semua Raja-Raja Melayu berangkat ke mesyuarat kali ini kecuali Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V dan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah memegang jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-16 dalam satu istiadat penuh gilang gemilang di Istana Negara pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja pada 24 Januari tahun sama.
Menurut Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Jika Raja yang berjaya tidak menerima tawaran, maka proses pengundian semula akan dijalankan, iaitu dengan mencalonkan nama Raja yang kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Susunan penggiliran pertama bermula pada 1957 (bagi pelantikan Yang di-Pertuan Agong) sehingga 1994, dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis,
Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Malaysia adalah sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.