KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong ke-17 bakal dipilih menerusi Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja yang akan bersidang hari ini.
Mesyuarat khas dijadual bermula jam 10 pagi di Istana Negara.
Pemilihan berdasarkan undian oleh sembilan Raja-Raja Melayu bagi memilih Yang di-Pertuan Agong dan Timbalan Yang di-Pertuan Agong yang baharu.
Persidangan khas itu diadakan susulan tempoh lima tahun penggal pemerintahan Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16, bakal tamat, 30 Januari tahun depan.
Al-Sultan Abdullah melafaz sumpah dan menandatangani surat sumpah jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari 2019 setelah dipilih pada Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja, 24 Januari tahun sama.
Menurut Seksyen 2, Bahagian I, Jadual Ketiga Perlembagaan Persekutuan, Majlis Raja-Raja hendaklah menawarkan jawatan Yang di-Pertuan Agong kepada Raja yang layak dipilih, yang negerinya ialah yang pertama dalam senarai pemilihan.
Proses pengundian semula dalam pada itu akan dilakukan sekiranya Raja yang dipilih menolak tawaran.
Langkah dilaksanakan ialah mencalonkan nama Raja kedua dalam senarai kekananan yang layak dipilih untuk diundi.
Susunan penggiliran pertama bermula tahun 1957 (bagi pelantikan Yang di-Pertuan Agong) sehingga 1994.
Ia dilakukan atas persetujuan Raja negeri-negeri mengikut kekananan dari segi tempoh pemerintahan yang dimulakan dengan Negeri Sembilan, diikuti Selangor, Perlis, Terengganu, Kedah, Kelantan, Pahang, Johor dan Perak.
Malaysia antara sebuah daripada 43 negara di dunia yang mengamalkan sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dan satu-satunya negara yang mengamalkan sistem penggiliran dalam kalangan sembilan Raja Melayu.