comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mesyuarat khas Kabinet esok dijangka tumpu isu kos sara hidup rakyat

KUALA LUMPUR: Mesyuarat khas Kabinet esok, dijangka memberi tumpuan khusus isu menangani kenaikan kos sara hidup yang membebani rakyat.

Menteri Komunikasi Digital, Fahmi Fadzil, berkata perkara itu dijangka menjadi agenda utama mesyuarat berdasarkan beberapa kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sejak beberapa hari lalu.

Beliau berkata, semua anggota Kabinet juga dijangka diarah memberi tumpuan khusus mengenai subsidi rakyat.

Anwar sebelum ini memberi tempoh dua minggu untuk kementerian mencerakin inisiatif berkenaan.

“Kami belum dimaklumkan agenda mesyuarat secara khusus, namun saya jangka Perdana Menteri akan sampaikan beberapa pandangan yang khusus berkait pengendalian kos sara hidup.

“Ini antara perkara utama, selaras dengan had masa dua minggu yang disebut Perdana Menteri selepas mesyuarat pertama beliau Ahad minggu lalu. Jadi, masa sudah tidak banyak.

“Saya juga jangka mungkin ada beberapa amanat yang akan disampaikan Perdana Menteri, khususnya mengenai gaji dan penerimaan cenderahati, di mana Anwar tegas menolak kedua-duanya, selain beberapa perkara khusus lain,” katanya kepada BH, hari ini.

Jumaat lalu, Anwar dilaporkan berkata akan memanggil mesyuarat khas Kabinet esok susulan selesai pembentukan dan pelantikan anggota Kabinet, bagi mengumumkan beberapa peraturan baharu.

Antaranya berkaitan cara mengurus kementerian; cara mendampingi dan bekerjasama dengan penjawat awam; penetapan cara untuk ahli Jemaah Menteri membuat pengumuman berkaitan dasar, serta cara berbelanja agar tidak melebihi kadar sepatutnya.

Foto hiasan

Selain itu dalam sidang media selepas mesyuarat khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara 2022 pada 27 November lalu, Perdana Menteri memaklumkan memberi tempoh dua minggu kepada kementerian dan agensi kerajaan untuk memperincikan pelbagai isu berkaitan subsidi rakyat.

Loading...
Terkini