comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat khas bincang tindakan lanjut berhubung GISBH esok – JAIS

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad

SHAH ALAM: Satu mesyuarat khas yang dipengerusikan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan diadakan esok bagi membincangkan tindakan selanjutnya berhubung isu Global Ikhwan Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata mesyuarat itu akan membabitkan jabatan berkenaan serta beberapa pihak berkuasa berkaitan termasuk polis.

“Esok mesyuarat khas MAIS bagi membincangkan tindakan selanjutnya yang akan dan perlu diambil oleh pihak berkuasa negeri khususnya JAIS jika ia melibatkan soal akidah.

“Susulan daripada itu (mesyuarat), kita akan beritahu isu serta masalah dan dari situ akan tahu tindakan susulan.

“Kita tak tahu agenda (mesyuarat) lagi tapi berdasarkan kenyataan sebelum ini (kenyataan MAIS), banyak arahan kepada JAIS dan ia akan diperincikan esok,” katanya ketika ditemui pada Majlis Sambutan Maulidur Rasul peringkat Selangor di Dewan Syarahan dan Muzakah Islam Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusi oleh Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof.

Pada Sabtu lalu, MAIS mengarahkan JAIS berganding bahu dan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan agensi penguatkuasaan lain bagi membanteras kesalahan jenayah, termasuk jenayah syariah yang berlaku di Selangor.

Ini berikutan tangkapan dan siasatan oleh PDRM atas laporan kesalahan pengabaian serta penganiayaan, termasuk kesalahan seksual terhadap penghuni di 20 rumah amal dikaitkan dengan syarikat Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH).

Abdul Aziz dalam kenyataan mengarahkan supaya tindakan keras diambil terhadap GISBH dan rangkaiannya yang terbabit dalam fahaman dan ajaran yang menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini