comscore
Tumpuan :
Nasional

Mesyuarat Kabinet Bincang Pelbagai Perkara

FOTO: Berita Harian

Oleh Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan, pelbagai perkara dibincangkan dalam mesyuarat kabinet hari ini.

“Mesyuarat kabinet macam biasa. (Kita) bincang macam-macam isu,” katanya ketika ditemui media di hadapan pintu protokol di Bangunan Perdana Putra, di sini.

Bagaimanapun, beliau tidak menjelaskan secara terperinci isu-isu yang dibincangkan.

Mesyuarat kabinet kebiasaannya diadakan pada hari Rabu namun ia diadakan pada hari Jumaat sekiranya Parlimen bersidang.

Terdahulu, kenderaan rasmi dinaiki Perdana Menteri meninggalkan bangunan berkenaan pada jam 2.55 petang untuk menuju ke Parlimen bagi menghadiri sesi pembentangan Bajet 2023.

Pagi tadi, Datuk Seri Ismail Sabri mempengerusikan mesyuarat kabinet pada jam 10 pagi dan berakhir kira-kira dua jam kemudian setelah kenderaan membawa Jemaah Menteri dilihat keluar dari Bangunan Perdana Putra bermula jam 12.15 tengah hari.

Ketika ditanya mengenai harapan Bajet 2023, Perdana Menteri berkata, beliau akan mengulasnya selepas pembentangan itu selesai.

“Kita tunggu lepas bentang,” katanya sambil menunjuk isyarat ‘bagus’.

Bajet 2023 akan dibentang Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz di Dewan Rakyat pada jam 4 petang ini.

Bertemakan ‘Memperkukuh Pemulihan, Memudah Cara Pembaharuan ke arah Kemampanan Daya Tahan Ekonomi dan Kesejahteraan Keluarga Malaysia’, Bajet 2023 memberi tumpuan kepada empat agenda iaitu kepada rakyat, perniagaan, ekonomi dan institusi kerajaan.

Loading...
Terkini