comscore
Tumpuan :
Nasional

Meski berdepan cabaran cuaca, trek berliku, Misi Ekspedisi EBC berjaya dilaksana

Gambar kenangan peserta ekspedisi ketika tiba di EBC. – FOTO: Ihsan Pasukan Ekspedisi

KUALA LUMPUR: Misi Ekspedisi Everest Base Camp (EBC) membabitkan sekumpulan pendaki sampai ke titik penamat dengan jayanya selepas kesemua 39 peserta selamat pulang ke tanah air.

Kepulangan peserta disambut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Nor Hisham Mohammad apabila mereka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang kira-kira 6.30 pagi tadi.

Ketua Ekspedisi, Datuk Ahmad Khirrizal Ab Rahman berkata, beliau bersyukur kerana misi dirancang berjalan dengan lancar walaupun berdepan cabaran daripada segi cuaca serta keadaan trek yang berliku.

Beliau yang kali pertama menyertai misi berkenaan juga teruja kerana berjaya tiba ke destinasi dituju bersama peserta lain dengan jarak perjalanan keseluruhan sejauh 110 kilometer (km).

“Pendakian dari Gorakshep ke EBC bermula pada 8 pagi 18 September lalu dan peserta selamat tiba (di EBC) pada 11.10 pagi.

“Perjalanan turun ke Gorakshep diteruskan pada 12.40 tengah hari hari sama dengan jarak hampir tiga km. Cabarannya adalah cuaca sangat sejuk hingga mencecah -1 darjah selsius selain trek berbatu dan licin.

“Tapi Alhamdulillah, semua peserta selamat naik ke EBC kecuali seorang peserta berdepan masalah kesihatan. Petugas kesihatan banyak membantu untuk memantau setiap hari dan memberi rawatan sewajarnya,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Ahmad Khirrizal, terdapat cadangan untuk meneruskan misi ekspedisi berkenaan pada masa hadapan.

“Tapi kita perlu membentangkan dulu laporan misi kepada baginda Tuanku (Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah).

“Ia susulan titah Tuanku untuk menubuhkan Kelab Mendaki Pahang dan mewakili peserta, saya menjunjung kasih buat Tuanku kerana berkenan serta memberi sokongan terhadap misi ekspedisi EBC,” katanya.

Pada 9 September lalu, kesemua peserta berlepas dari KLIA ke Kathmandu, Nepal bagi menyahut cabaran dalam Ekspedisi EBC.

Ekspedisi anjuran kerajaan Pahang itu diadakan sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan ke-65 Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Turut menyertai misi ekspedisi berkenaan adalah Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan Pahang Fadzli Mohamad Kamal, Pengarang Kumpulan Harian Metro Husain Jahit selain kakitangan Pejabat Setiausaha Kerajaan (SUK) Pahang, Pejabat Sultan Pahang, JBPM Pahang, Majlis Sukan Negeri (MSN) dan wakil media termasuk wartawan TV3 merangkap penyelaras program, Fazli Ahmad bersama jurukamera, Jufri Judin.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini