Oleh: Fazli Ahmad
KUANTAN: Lebih 280 mesin “perlombongan” bitcoin dan 438 alat bekalan kuasa elektrik bernilai RM88,000 dirampas di sekitar bandar raya ini dimusnahkan.
Ketua Polis Daerah Kuantan, ACP Wan Mohd Zahari Wan Busu, berkata semua mesin dan peralatan itu membabitkan lima kes rampasan antara 2021 dan 2023.
Menurutnya, pelupusan barang kes itu dilakukan atas arahan Pejabat Timbalan Pendakwa Raya Pahang selepas perbicaraan semua kes terbabit di mahkamah selesai.
“Proses memusnahkan bahan kes ini dilakukan ejen dilantik Jabatan Alam Sekitar bagi melupuskan sisa elektrik dan elektronik menerusi prosedur pelupusan barang kes melibatkan mesin perlombongan bitcoin ditetapkan undang-undang.” katanya pada sidang media selepas kerja melupus bahan kes di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan di sini, hari ini.
Menurutnya, semua mesin itu dirampas mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana kesalahan melakukan kianat dan menyebabkan kerugian serta Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
“Polis memohon kerjasama orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa jika mengesan atau mengesyaki ada pihak melakukan kesalahan berkaitan penyalahgunaan elektrik dengan tujuan mengedalikan kegiatan “perlombongan” bitcoin.” katanya.
Menurut, bagi kesalahan mencuri bekalan elektrik termasuk melakukan pengubahsuaian atau penyambungan untuk melakukan kegiatan haram seperti itu tindakan boleh dikenakan mengikut 37 Akta Bekalan Elektrik 1990.
Sabit kesalahan boleh dipenjara hingga tiga tahun dan denda hingga RM50,000 atau kedua-duanya.