comscore
Tumpuan :
Gaya Hidup

Mesin cetak braille bantu OKU penglihatan

KUALA NERUS: Empat unit mesin pencetak braille jenis Embosser, membolehkan Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (PERTIS) Wilayah Terengganu, menyasarkan dapat mengeluarkan lebih banyak bahan ilmiah
kepada golongan OKU penglihatan.

Pengerusinya, Mohd Fauzi Mansor, 52 tahun, berkata, empat unit mesin Embosser itu disumbangkan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan kerajaan negeri bernilai lebih RM100,000 amat bermanfaat buat mereka.

“Dengan adanya mesin pencetak itu, Pertis Wilayah Terengganu, dapat membantu memperbanyakkan bahan cetakan dalam bentuk braille bagi kemudahan untuk digunakan golongan sasar.

“Mesin ini dikendalikan koperasi Pertis Wilayah Terengganu dan secara tidak langsung ia bakal membuka peluang pekerjaan kepada golongan OKU penglihatan yang akan mengendalikannya nanti,” katanya.

Katanya, kos penerbitan bahan braille agak mahal selain kos menyelenggara mesin itu juga tinggi namun hanya satu saja mesin pencetak braille yang berada di pasaran iaitu jenis Embosser buatan Sweden.

Fauzi berkata, tujuh pelatih akan dipilih sebagai projek perintis dan akan melaksanakan tugas antaranya di bahagian penulisan, pencetakan dan penjualan.

“Menjadi hasrat kita (Pertis Wilayah Terengganu) untuk menjadi sokongan kepada PERTIS Kuala Lumpur, yang terdahulu mempunyai mesin berkenaan.

“Mereka di sana mempunyai 10 unit mesin berkenaan dan difahamkan mereka tidak menang tangan mengendalikan itu untuk mencetak bahan-bahan braille,” katanya.

Justeru, besar harapan kita dengan adanya mesin berkenaan ianya dapat dimanfaatkan untuk tujuan terbitan pelbagai jenis buku terutama buku-buku ilmiah.

Menurut Fauzi, kaedah yang boleh diguna pakai iaitu individu normal akan membaca sesebuah buku, lalu OKU penglihatan akan menterjemahkan setiap perkataan ke dalam huruf braille.

Katanya, walaupun memerlukan kos yang tinggi namun bagi kemudahan untuk generasi OKU penglihatan pada masa depan ianya perlu dilaksanakan.

Fauzi berkata, pihaknya amat mengalu-alukan sekiranya ada pihak yang sudi membantu terutama dalam menyalurkan sumbangan bagi menampung kos penerbitan setiap buku braille yang ingin diterbitkan.

Loading...
Terkini