Tumpuan :
Nasional

‘Mereka sering merayau tetapi tak pernah datang minta makanan’ – Penduduk

Lokasi penemuan mangsa semalam. Jarak lokasi ini dari rumah mangsa sekitar 350meter

Oleh Amira Suraini Che Mohamad

KANGAR: Tiga beradik yang ditemui dengan kaki dirantai di tepi titi, jalan Kampung Tambun Tulang malam semalam, sering dilihat merayau keluar dari rumah tanpa pengetahuan keluarga.

Demikian menurut penduduk setempat yang turut mendakwa kejadian itu sudah berlarutan sejak lebih dua tahun lalu.

“Kita nampak budak-budak tiga orang ni keluar rumah waktu malam sahaja… Bukan tiap-tiap malam tapi selalu la nampak depa jalan.

“Cuma baru dua minggu ni saja kita dengar bunyi macam ada besi diseret bila depa (mereka) jalan, rasanya itu rantai dekat kaki sebab jumpa depa semalam ada rantai dekat kaki,” ujar penduduk berdekatan yang melihat kanak-kanak itu keluar dari rumah mereka jam 10 malam semalam.

Katanya, penduduk setempat pernah menegur tiga kanak-kanak itu namun mereka tidak mempedulikan orang sekeliling.

Tiga beradik itu juga dikatakan tidak pernah singgah ke rumah penduduk untuk meminta makan.

Menurut penduduk lagi, ibu mangsa tidak bergaul mesra dengan penduduk kampung dan mereka tidak tahu kanak-kanak itu didera kerana tidak pernah terdengar jeritan.

Dalam pada itu, tinjauan di kawasan sekitar rumah mangsa mendapati pintu rumah masih berkunci.

Jarak rumah mangsa dengan lokasi mereka ditemui sekitar 350 meter.

Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop berkata, mangsa dalam keadaan stabil dan masih dirawat di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar.

Ujarnya, hasil keterangan awal daripada wanita berusia 46 tahun yang juga ibu mangsa, mendakwa sikap ketiga-tiga anaknya yang sukar dikawal menyebabkan dia bertindak merantai mereka.

Dalam kejadian jam 10.55 malam semalam, tiga beradik iaitu dua pemegang kad Orang Kurang Upaya (OKU) ditemui di tepi titi, jalan Kampung Tambun Tulang dengan dua daripada mereka dirantai pada bahagian kaki.

Berikutan kejadian itu, ibu mangsa bersama seorang lelaki berusia 31 tahun ditahan untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-kanak 2001.

Kedua-duanya direman 7 hari sehingga 31 Mac depan.

Loading...
Terkini