Tumpuan :
Nasional

Mercun, bunga api untuk jualan sempena Tahun Baharu Cina dirampas

Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar. – Foto NSTP

JOHOR BAHRU: Pelbagai jenis mercun dan bunga api dirampas Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Dua (W2) Johor dalam dua serbuan berasingan di Muar dan Mersing, kelmarin.

Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar berkata, serbuan dibuat menerusi Op Taring Landai Khas yang dilancarkan sempena perayaan Tahun Baharu Cina dan juga susulan maklumat risikan operasi berkaitan penjualan mercun dan bunga api tiada kebenaran dari pihak berkuasa.

Beliau berkata, dalam serbuan pertama kira-kira jam 4.30 petang kelmarin, sepasukan polis dari Unit Risik Markas Operasi PPM W2 Muar dibantu Pasukan Siasatan Khas Jabatan KDNKA PDRM melakukan serbuan di Kawasan Perindustrian Parit Hulu, Jalan Bakri, Muar.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan dengan disaksikan penjaga premis iaitu seorang lelaki warga tempatan telah menjumpai pelbagai jenis mercun dan bunga api iaitu 319 kotak yang dianggarkan bernilai RM503,665.

“Lelaki berusia 40 tahun itu ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes itu,” katanya menerusi kenyataan media, malam tadi.

Sementara itu, beliau berkata, serbuan kedua dibuat kira-kira jam 10.30 malam kelmarin, ketika sepasukan polis dari Markas Taktikal PPM W2 Mersing sedang menjalankan tugas pemantauan sebelum mengesan pergerakan sebuah Toyota Vios berwarna putih dipandu dalam keadaan yang mencurigakan.

Katanya, pasukan serbuan telah berjaya menahan kereta yang dipandu seorang lelaki warga tempatan di kawasan Taman Desa Sri Endau, Mersing itu sebelum hasil pemeriksaan ke atas kereta itu menjumpai pelbagai jenis mercun serta bunga api yang disembunyikan di bahagian tempat duduk belakang dan but kereta.

“Lelaki berusia 24 tahun ditahan kerana gagal mengemukakan lesen yang sah berhubung pemilikan bahan letupan dan barang kes dirampas untuk siasatan lanjut.

“Ketika proses dokumentasi sedang dilakukan di Pejabat Markas Taktikal PPM W2 Mersing, tangkapan telah beberapa kali cuba memberikan wang suapan berjumlah RM2,500 kepada pasukan operasi bagi mengelakkan dari diambil tindakan undang-undang walaupun amaran telah diberikan,” katanya.

Menurut Kumar, kedua-dua suspek disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 kerana memiliki bahan letupan, manakala suspek yang turut ditahan akibat cuba memberi sogokan kepada polis akan diserahkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut.

Pada masa sama, Kumar berkata, pihaknya terus komited dalam membanteras serta memastikan kegiatan penyeludupan atau penjualan mercun dan bunga api yang tidak memiliki kebenaran daripada pihak berkuasa ini dihentikan kerana boleh menjejaskan ekonomi negara.

“Masyarakat juga digesa supaya terus menyalurkan maklumat kepada Polis Johor tentang apa jua aktiviti yang menyalahi undang-undang dan peraturan supaya keselamatan negara dan ketenteraman awam terpelihara,” tegasnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini