Tumpuan :
Nasional

Menyamar sebagai kontraktor sebelum curi kabel, 4 lelaki ditahan polis

Antara bahan rampasan termasuk sembilan kabel yang ditemui di dalam kenderaan suspek. – Foto ihsan polis

JOHOR BAHRU: Taktik empat lelaki menyamar sebagai kontraktor telekomunikasi untuk mencuri kabel terbongkar selepas mereka ditahan polis dalam aksi kejar-mengejar sejauh lebih lima kilometer, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat, berkata dalam kejadian kira-kira jam 6 pagi, sepasukan anggota kereta peronda (MPV) dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan yang menjalankan Op Bersepadu Pencegahan Jenayah terserempak dengan sebuah Honda City berwarna perak dalam keadaan mencurigakan.

“Anggota bertugas cuba menahan kenderaan itu untuk pemeriksaan, namun pemandunya enggan berhenti dan bertindak memecut laju.

“Suspek memandu secara berbahaya dengan memasuki laluan bertentangan, serta melanggar dua lampu isyarat merah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, beliau berkata sebaik tiba di simpang Jalan Kebun Teh – Jalan Dato Jaafar, kenderaan suspek mengalami kerosakan sebelum polis berjaya menahan keempat-empat suspek berusia 30 hingga 46 tahun.

Hasil pemeriksaan mendapati dua daripada empat suspek mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan jenayah dan dadah.

“Pemeriksaan ke atas kenderaan menemui sembilan batang kabel yang telah dipotong di dalam bonet, dipercayai dicuri dari lokasi lain.

“Siasatan awal mendapati suspek menggunakan modus operandi menyamar sebagai kontraktor telekomunikasi untuk mencuri kabel tanpa disedari orang awam. Kesemua suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan,” ujarnya.

Tambah Raub, kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas; Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri; Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan berbahaya; serta Seksyen 15 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini