Tumpuan :
Nasional

Menu Rahmah: Usul rujuk Dr Halimah ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen PAS, Dr Halimah Ali dihadapkan ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana didakwa mengelirukan Dewan Rakyat dalam isu Menu Rahmah.

Beliau mahu Ahli Parlimen Kapar itu dirujuk mengikut Perkara 36(12) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat atas sebab ucapan beliau dalam Dewan Rakyat pada 14 Februari lalu yang mengandungi kenyataan yang mengelirukan Dewan dan boleh disifatkan sebagai menghina Majlis.

Pada tarikh itu, Dr Halimah mengeluarkan kenyataan ketika perbahasan dengan menyatakan “Saya tidak ada masalah dengan istilah ‘rahmah” atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang ‘low quality’ dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya”.

Yii berkata kenyataan itu tidak benar dan tidak bertanggungjawab kerana ia bukan sahaja tidak berdasarkan fakta dan sains, tetapi boleh menimbulkan salah faham dan stigma terhadap masyarakat autisme dan OKU di Malaysia.

Beliau turut menyatakan Dr Halimah sudah diberikan banyak peluang untuk meminta maaf dan menarik balik kenyataan beliau.

“Namun, beliau tetap cuba mengelirukan Dewan dan menafikan pernah mengeluarkan kenyataan itu dalam beberapa kenyataan umum termasuk satu kenyataan di dalam Dewan di mana beliau menyuruh kita merujuk hansard untuk membuktikan bahawa kenyataan itu tidak pernah dituturkan,” menurut usul itu.

Yii berkata mengikut hansard pada 14 Februari 2023, termasuk rakaman video Parlimen jelas menunjukkan beliau jelas mengeluarkan kenyataan tidak bertanggungjawab.

“Oleh itu, saya mencadangkan Dewan merujuk Ahli Parlimen Kapar ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan mengikut Perkara 36(12) Peraturan -Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat,” katanya.

Mengikut Peraturan Mesyuarat 80(1), jawatankuasa terbabit yang diketuai Johari dan serta enam ahli akan mempertimbangkan sebarang usul yang dirujuk kepada mereka dan kemudian melaporkannya kepada Dewan Rakyat.

Jika didapati bersalah, Ahli Parlimen terbabit boleh dihukum mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini