Oleh: Fahiz Ariff
RAWANG: Program Outreach Mentor Mentee Bilik Berita anjuran Jabatan Berita Dan Ehwal Semasa Rangkaian Televisyen Media Prima diteruskan dengan siri ketiga untuk tahun ini.
Kembali dengan modul motivasi kerjaya, seramai 37 orang anak-anak yatim dari Asrama Damai Kuang, di sini, terlibat menyertai program tersebut.
Pengisian Program Tanggungjawab Sosial Korporat, (CSR) merangkumi aktiviti motivasi seperti sesi perkongsian kerjaya dan modul mengenal potensi diri.
Program ini turut mendapat kerjasama sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) tempatan.
Terdahulu, Program Outreach Mentor Mentee Bilik Berita melibatkan komitmen enam penyampai berita Media Prima, iaitu Amirul Hakim Lokman, Asrulnizam Kadir, Fatin Hamimah Yusof, Saberi Abdul Malek, Fahiz Ariff dan Afrina Romzi.
Kesemua mereka adalah mentee di bawah seliaan Norliza Mohd Zain sebagai mentor.
Pada program sama, sumbangan wang tunai sebanyak RM2,500 turut dihulurkan kepada organisasi kebajikan berkenaan.
Hadir sama menyampaikan sumbangan, wakil Kelab Media Prima, Syed Muhammad Danial Syed Abdul Halim dan wakil (NGO), Rahimi Abd Karim.
Program Mentor Mentee Bilik Berita dilancarkan pada Oktober tahun lalu bagi memperkasa potensi dan kredibiliti pelapis penyampai berita atau mentee bagi mencapai strategi organisasi dalam era persaingan global.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa