Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Menteri umum pendirian dan isu pendidikan minggu depan

Fadhlina Sidek ditemui media selepas Program Khatan Perdana Kadun Jawi di Nobong Tebal.

Oleh Selwam Arjunan

NIBONG TEBAL: Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek akan memperincikan halatuju pendidikan negara dan pendirian berhubung isu-isu pendidikan yang mustahak pada minggu depan.

Menurut Fadhlina, beliau kini dalam proses mengadakan konsultasi dengan pemegang taruh bidang pendidikan serta mengambil kira pandangan dan kritikan rakyat secara keseluruhan dalam langkah menjadikan pendidikan negara lebih baik.

Katanya, beliau memerlukan masa dan input yang secukupnya sebelum membuat keputusan kerana ia membabitkan kementerian yang sangat besar.

“Ada beberapa isu dalam pendidikan yang kita sedang lihat dan ketika ini proses saya mendengar serta mengambil pandangan dari semua pihak terutama konsultasi kerana ia sangat penting kepada saya sebelum membuat sebarang keputusan berkaitan Kementerian Pendidikan.

“Konsultasi ini melibatkan bersama Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, pengarah-pengarah pendidikan, guru-guru, pemegang taruh, ibu bapa dan kanak-kanak sendiri, saya akan mengambil semua pandangan serta kritikan yang diberikan oleh mereka diambil secara serius,” katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Jelasnya, beliau menitikberatkan proses konsultasi kerana tidak mahu mengabaikan pandangan mana-mana pihak dalam mencorakkan masa depan pendidikan negara.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal ditemui selepas menghadiri Program Khatan Perdana Kadun Jawi, di sini hari ini.

Program yang disertai 100 kanak-kanak itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Chow Kon Yeow.

Fadhlina juga memaklumkan beliau akan mengadakan sidang media khas kementerian pendidikan pada minggu depan berhubung perkara berkenaan.

“Saya akan membuat sidang media khas KPM pada minggu depan, di samping mengalukan kehadiran Timbalan Menteri Lim Hui Ying dan akan mengumumkan beberapa perkara berkaitan dengan isu pendidikan dan barangkali pendirian KPM dalam isu pendidikan negara, jadi tunggu minggu depan,” ujarnya.

Katanya, beliau menyambut baik pelantikan Hui Ying oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan percaya bahawa pelantikan itu akan memastikan pendidikan negara menjadi lebih baik.

Loading...
Terkini