PUTRAJAYA: Pemakaian sut tanpa tali leher oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dilihat menjadi ikutan Jemaah Menterinya serta pegawai kanan dalam pentadbiran Persekutuan.
Berdasarkan empat keping gambar yang dikongsikan melalui akaun Twitter Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, kesemua Menteri lelaki tidak memakai tali leher biarpun kesemua mereka mengenakan sut ketika menghadiri mesyuarat Kabinet, pagi tadi.
Turut tidak mengenakan tali leher adalah Ketua setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali.
Mesyuarat Kabinet pagi ini yang bermula kira-kira jam 9.30 pagi dihadiri semua Menteri termasuk Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Isnin lalu, pada mesyuarat khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tengku Zafrul tidak dapat hadir kerana urusan rasmi di Abu Dhabi.
Sementara itu, langkah diambil semua Jemaah Menteri itu mendapat pelbagai reaksi termasuk terkejut dan ada yang mengandaikan alasan tertentu.
Seorang pengguna Twitter dengan nama @cantfindmelove turut memasukkan jawapan kepada persoalan mengapa pegawai tentera dan ahli politik Iran tidak mengenakan tali leher yang antara lain menyatakan pemakaian tali leher dilihat sebagai tali cawak (leash) kepada Amerika Syarikat dan sesiapa yang memakainya dianggap sebagai anjing Amerika.
Apa pun alasannya, penampilan baharu ini turut mendapat reaksi positif pengguna aplikasi Twitter yang antara lain menyebut ia nampak ringkas dan imej baik bagi kerajaan baharu.