Tumpuan :
Nasional

Menteri Pertahanan lawat kapal pengangkut pesawat tentera laut Perancis

Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin melakukan lawatan ke Kapal Pengangkut Pesawat Tentera Laut Perancis Charles de Gaulle (CDG) yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.-FOTO: Mohamed Khaled Nordin / Facebook

KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin semalam mengadakan lawatan ke Kapal Pengangkut Pesawat Tentera Laut Perancis Charles de Gaulle (CDG) yang sedang melalui perairan negara di Laut China Selatan.

Menerusi catatan di laman Facebooknya, Mohamed Khaled berkata semasa lawatan itu, beliau diberikan taklimat terperinci mengenai kapal berkenaan dan operasinya oleh Komander Carrier Strike Group (CSG) Perancis Laksamana Muda Jacques Mallard.

FOTO: Mohamed Khaled Nordin / Facebook

“Kapal pengangkut pesawat itu adalah ‘center force’ bagi CSG Perancis dan daya Tentera Laut Perancis yang menggabungkan pelbagai sumber serta kekuatan di sekitarnya bagi membolehkan CDG menjalankan misi pelbagai,” katanya.

Beliau berkata, Kapal CDG menempatkan antara lain pesawat pejuang Rafale dan pesawat Hawkeye serta diiringi kapal-kapal pendamping seperti ‘destroyers’ dan ‘supply ship’ yang baru menamatkan latihan bersama negara rakan di rantau ini dan sedang mengadakan pertemuan melibatkan pelbagai negara.

FOTO: Mohamed Khaled Nordin / Facebook

“Ia juga antara usaha negara itu dalam memperkukuh hubungan dan kerjasama pertahanan di rantau ini, termasuklah dengan Malaysia,” katanya.

Turut sama dalam lawatan berkenaan ialah Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaffar, Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali dan Panglima Tentera Laut Laksamana Datuk Zulhelmy Ithnain.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini