Tumpuan :
Nasional

Menteri Perpaduan, Menteri Agama perjelas peranan kader JAKIM kepada MCCBCHST

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Peranan kader Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) tertumpu kepada hal ehwal Islam dan tidak berperanan dalam perihal penggubalan dasar atau hala tuju kementerian atau jabatan kerajaan.

Perkara itu ditegaskan dalam pertemuan Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar dengan Majlis Perundingan Malaysia bagi Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme (MCCBCHST) hari ini. 

Dalam satu kenyataan, Kementerian Perpaduan Negara (KPN) memaklumkan, pertemuan yang berlangsung di sini, bertujuan untuk membincangkan isu berkaitan penempatan pegawai JAKIM di jabatan kerajaan dan kementerian.

“Pegawai ini hanya menjalankan fungsi perkhidmatan seperti Pembangunan Insan (Kemahiran Insaniah, Bimbingan Fardu Ain, dan Fardu Kifayah); Keselamatan (Kelas Agama, Pengukuhan Akidah, Bendung fahaman atau ekstremisme) dan Pencegahan (Bimbingan dan Nasihat agama, Kelas Al-Quran dan Fardu Ain, psikospiritual Islam, Pembangunan Insaniah),” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu menambah, pelantikan kader JAKIM sejak tahun 2006 adalah berdasarkan perjawatan yang diluluskan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Ia melalui permohonan daripada kementerian, jabatan atau agensi kerajaan untuk melaksanakan fungsi hal ehwal Islam sahaja. 

Ketika ini, terdapat seramai 1,250 kader JAKIM dan tiada perjawatan baharu di bawah pimpinan Kerajaan Perpaduan. 

“Pertemuan pada hari ini telah menemui kata sepakat antara semua wakil dan pemimpin agama Islam dan selain Islam berhubung polemik penempatan pegawai JAKIM. 

“Kesemua pemimpin agama bersetuju agar memanfaatkan Biro Pengurusan Isu dan Mediasi (di bawah Jawatankuasa Keharmonian Antara Penganut Agama yang ditubuhkan pada 14 Ogos 2020) dalam mencari solusi kepada isu, permasalahan atau polemik,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, MCCBCHST menyuarakan bantahan mereka susulan laporan bahawa pegawai agama Islam akan ditempatkan di semua jabatan kerajaan bagi memastikan keputusan yang dibuat selari dengan prinsip Islam.

Bagaimanapun, tuduhan berkenaan disangkal Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil yang menegaskan penempatan pegawai tersebut adalah bagi membantu terutama dari segi integriti dan pengisian kerohanian dalam jabatan terbabit. 

Rentetan itu, Fahmi berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan Aaron dan Mohd Na’im mengadakan pertemuan dengan kumpulan antara agama bukan Islam tersebut bagi mengurus isu berkenaan dengan baik tanpa wujud salah faham.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini