
Oleh: Hamdi Fahmi Mohamad Zaki
KUALA LUMPUR: Ahli Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan perlu lebih responsif terhadap setiap isu yang dibangkitkan sebelum perkara itu dieksploitasi oleh mana-mana pihak, khususnya pembangkang.
Itu antara ruang penambahbaikan yang perlu diberikan perhatian, seperti yang disarankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang mahu barisan Kabinetnya menerima baik sebarang teguran serta kritikan berhubung prestasi mereka.
Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Kedah, Tunku Nashril Abaidah, berkata anggota Kabinet perlu bersedia menjawab sebarang permasalahan, khususnya yang membabitkan kepentingan rakyat.
“Jika kita ambil contoh, isu yang melibatkan ‘visibility of the cabinet’ atau keterlihatan Kabinet. Saya tidak perlu menyebut mana-mana menteri secara khusus, tetapi memang ada beberapa isu yang perlu diberi perhatian,” katanya.
Tambahnya, barisan menteri perlu dilihat bergerak secara berpasukan dan bukan sekadar menjadi pelengkap dalam kerajaan pimpinan Anwar.
“Saya tidak melihat ini sebagai isu besar, tetapi ia adalah ruang penambahbaikan yang boleh dilakukan. Kabinet perlu dilihat sebagai satu pasukan yang bergerak bersama,” katanya.
Semalam, media melaporkan Perdana Menteri menegaskan bahawa prestasi Jemaah Menteri setakat ini berada pada tahap yang membanggakan, meskipun tidak sempurna.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.