
KUALA LUMPUR: Nasib seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun yang cedera dipercayai dipukul ibunya sehingga tersungkur dan terhantuk di bucu bangku di tempat awam mendapat perhatian Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.
Fadhlina dalam hantaran di Facebook hari ini berkata, selepas berita berkenaan tular, beliau tidak berdiam diri dan terus mencari keluarga itu kerana yakin mereka memerlukan bantuan.
“Tempoh hari, tular berita berkaitan seorang kanak-kanak dipukul di tempat awam dan ibunya kini ditahan reman. Saya terus mencari keluarga ini kerana saya yakin mereka memerlukan bantuan.
“Terima kasih kepada semua agensi yang turut hadir menziarahi keluarga ini termasuk Pengarah Pendidikan Negeri Perlis serta wakil wanita KEADILAN dari cabang Padang Besar.
“Insya-Allah saya telah meminta agar urusan kemasukan prasekolah anak ini di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) diuruskan segera bagi memastikan kebajikan anak ini terus terjaga,” katanya.
Ahad lalu, tular video di media sosial berdurasi 47 saat yang memaparkan seorang wanita melempiaskan kemarahan terhadap seorang kanak-kanak perempuan dengan merentap tangan sebelum tiga kali menampar anaknya itu termasuk di kepala.
Tindakan itu menyebabkan anaknya terjatuh sehingga kepala tercedera.
Menurut laporan media, wanita yang didakwa mencederakan anaknya di sebuah koridor hadapan sebuah pasar raya itu direman hingga Ahad ini.
Dalam pada itu Fadhlina berkata, sumbangan berupa wang tunai, bakul makanan, bantuan persekolahan dan permainan untuk anak itu telah disampaikan oleh pegawainya.
“Kadang-kadang kita tidak berada di tempat orang itu. Barangkali kita tidak dapat memahami apa isu dan tekanan yang dihadapi orang lain.
“Tetapi sebagai pemimpin masyarakat, kehadiran kita mesti dirasai oleh rakyat dalam setiap denyut dan nadi kehidupan mereka.
“Semoga anak ini membesar dengan rahmah serta kasih sayang keluarga serta masyarakat di sekelilingnya.
“Terima kasih kepada semua agensi kerajaan yang sudah membantu keluarga ini. Semoga Allah SWT memberi ganjaran setiap usaha khidmat kebaktian kita,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.