KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya tampil menafikan dakwaan terhadap dirinya yang dikatakan menyalahgunakan kuasa sehingga mencetuskan kekecohan di Balai Ketibaan Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 semalam.
Menerusi kenyataan 5 mukasurat yang dikeluarkan, Datuk Seri Tiong King Sing menolak dakwaan melepaskan pelancong asing yang ditahan oleh pihak imigresen.
Artikel berkaitan: Insiden kekecohan di KLIA: Jabatan Imigresen mulakan siasatan menyeluruh
“Saya tiada kuasa untuk itu, dan saya hanya merosakkan reputasi saya sendiri jika berbuat demikian. Saya masih waras dan tahu batas-batas sebagai seorang Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Apa guna saya sebagai Menteri sekiranya saya tidak memberi tumpuan serius terhadap kepentingan negara, tambahan pula ia menjejaskan imej negara dan menakut-nakutkan pelancong asing?
“Jika kita tidak serius dalam isu ini sekarang, sampai bila-bila pun ia tidak akan diselesaikan. Mungkinkah ada segelintir pegawai takut jika perkara ini terbongkar sehingga memberi kesan kepada kepentingan peribadi mereka?” katanya.
King Sing mengakui gambar tular di media sosial berhubung isu itu adalah dirinya dan beliau mengatakan ada menerima aduan daripada pelancong sebelum ke KLIA bagi memahami situasi pelancong asing itu, selain ia pemantauan biasa bagi seorang menteri untuk turun padang.
“Saya bersyukur kerana kehadiran saya sudah membongkar peristiwa memalukan negara apabila wujudnya budaya rasuah yang dilakukan oleh segelintir pegawai dan penyalahgunaan kuasa kronik di pintu masuk negara.
“Pada mulanya saya tidak mahu mendedahkan perkara ini kerana sedang bertindak mengikut saluran serta platform yang lebih praktikal.
“Namun disebabkan isu ini tular dan ramai pengamal media menghubungi saya, maka ini penjelasannya,” katanya.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, beliau menerima pautan berita bertajuk ‘EKSKLUSIF: Menteri buat ‘kecoh’ di KLIA tuntut pelawat China ditahan imigresen dibebaskan’.
“Apa yang lebih mengejutkan, artikel itu turut menyatakan saya memasuki ruang ketibaan tanpa memohon pas sedangkan saya memiliki pas sah untuk memasuki kawasan itu.
“Jadi mengapa perlu memperbesarkan isu ini dengan memberi persepsi yang salah?” katanya.