comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri Luar Negeri Uzbekistan adakan lawatan rasmi ke Malaysia esok

Menteri Luar Negeri Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Menteri Luar Negeri Uzbekistan, Bakhtiyor Saidov akan mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia selama sehari pada esok.

Wisma Putra dalam kenyataan memaklumkan, lawatan berkenaan susulan perbincangan yang telah diadakan semasa lawatan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Uzbekistan pada Mei lalu.

“Semasa lawatan tersebut, Bakhtiyor Saidov akan mengadakan kunjungan hormat ke atas Perdana Menteri.

“Beliau juga akan membincangkan hubungan dua hala Malaysia dan Uzbekistan bersama Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan,” menurut kenyataan itu hari ini.

Kedua-dua menteri dijangka bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang berkepentingan bersama bagi memperkukuh lagi hubungan dua hala sedia ada.

Selain itu, perbincangan turut menjurus kepada usaha meneroka kerjasama baharu khususnya dalam sektor perdagangan, pelaburan, tenaga, pelancongan dan industri halal.

Mengulas lanjut, Wisma Putra berkata, delegasi Uzbekistan juga akan mengadakan mesyuarat dengan Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS) bagi membincangkan potensi kerjasama dalam sektor petroleum dan gas serta industri kimia di negara terbabit.

“Malaysia dan Uzbekistan telah mempergiatkan hubungan dua hala pada tahun ini dengan pertukaran lawatan antara kedua-dua negara serta penganjuran bersama acara perniagaan di Samarkand pada Mei 2024,” menurut kenyataan itu.

Uzbekistan merupakan rakan perdagangan kedua terbesar dalam kalangan negara Asia Tengah bagi Malaysia pada tahun 2023.

Jumlah perdagangan Malaysia-Uzbekistan adalah sebanyak RM451.1 juta (AS$94.03 juta).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini