Tumpuan :
Nasional

Mental penat berbanding fizikal – Mohamad Sukri

Sukri dalam sesi latihan bersama skuad kebangsaan. – FOTO: Ihsan MHC

KUALA LUMPUR: Memang cabaran berbeza, itu yang diakui bekas kapten hoki negara, Mohamad Sukri Abdul Mutalib yang dilantik sebagai penolong jurulatih skuad Speedy Tigers bulan lalu.

Berbanding ketika bergelat pemain, Sukri  berkata tugas sebagai jurulatih lebih menguji dari segi mental dalam usaha membentuk pasukan hoki lelaki kebangsaan.

Justeru beliau akan menagih ilmu daripada ketua jurulatih Sarjit Singh yang berpengalaman dan seorang lagi pembantu jurulatih Azrul Effendy Bistamam untuk membantunya menggalas tanggungjawab baharu itu.

“Masing-masing ada cabaran. Cuma di sini bila saya menjadi jurulatih perbezaan melibatkan mental walaupun fizikal juga ada penatnya berbanding pemain lebih penat fizikal.

“Selain melatih, kena juga buat kerja-kerja pengurusan, merangka pelan dan perlu berfikir di luar kotak untuk membentuk pasukan bagus,” katanya dalam kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) hari ini.

Walaupun memiliki pengalaman luas sebagai pemain namun beliau berkata masih perlu ‘berguru’ dengan jurulatih berpengalaman agar dapat menimba ilmu baharu dan melihat dari sudut berbeza, selain merasakan dirinya memerlukan sekurang-kurangnya 10 tahun untuk menjadi jurulatih yang bagus.

12 Mac lalu, Mohamad Sukri dilantik sebagai penolong jurulatih bersama Azrul Effendy manakala jurulatih penjaga gol dibantu S Kumar dan diketuai Sarjit untuk mengendalikan skuad negara yang akan berdepan cabaran pertama mereka iaitu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh pada 4-11 Mei ini.

Barisan kejurulatihan skuad kebangsaan ketika ini mempunyai misi bagi membentuk pasukan Speedy Tigers ‘berwajah baharu’ dengan Sukan Asia 2026 Nagoya menjadi salah satu objektif pasukan ini dibentuk. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini