comscore
Tumpuan :
Nasional

Menjelang Aidiladha : KTMB sedia 912 tiket tren khas ke Pantai Timur 

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR:  Keretapi Tanah Melayu Bhd (KTMB) menawarkan 912 tiket Tren Khas Ekspres Lambaian Aidiladha (ELA) bagi perjalanan Kuala Lumpur ke Pantai Timur sempena sambutan Aidiladha tidak lama lagi.

Penyediaan tren khas itu sebagai sokongan kepada kerajaan dalam mengatasi penggunaan jalan raya sering sesak khususnya ketika musim perayaan, kata KTMB dalam satu kenyataan.

“Oleh itu, dengan adanya perkhidmatan tren khas ini, ia menawarkan keselesaan kepada orang ramai, kanak-kanak dan warga emas untuk balik kampung, malah turut memberi peluang kepada pelancong yang berhasrat mengunjungi lokasi pelancongan di Pantai Timur,” menurutnya.

Jadual tren khas berkenaan bermula 27 Jun ini bagi laluan KL Sentral ke Tumpat dengan masa berlepas jam 3.20 petang, manakala pada 1 Julai melibatkan perjalanan Tumpat-KL Sentral dengan masa berlepas jam 6 petang.

Menurut kenyataan itu, Tren Khas ELA berkenaan akan berhenti di 17 stesen iaitu Stesen KL Sentral, Bandar Tasik Selatan, Kajang, Seremban, Pulau Sebang, Gemas, Bahau, Mentakab, Jerantut, Kuala Lipis, Gua Musang, Dabong, Kuala Krai, Tanah Merah, Pasir Mas, Wakaf Bharu dan Tumpat.

“KTMB juga tidak menolak untuk menambah dua lagi perkhidmatan dari KL Sentral ke Tumpat dan sebaliknya sekiranya mendapat sambutan yang baik dan menggalakkan daripada pengguna Pantai Timur seperti sambutan Aidilfitri yang lepas,” menurut KTMB.

Tiket bagi tren khas berkenaan mula dijual hari ini pada jam 2 petang dengan harga bermula daripada RM55 hingga RM83 bagi perjalanan sehala.

KTMB turut menyarankan pengguna untuk membuat pembelian tiket melalui aplikasi KTMB Mobile (KITS) atau menerusi laman sesawang KTMB www.ktmb.com.my.

Loading...
Terkini