comscore
Tumpuan :
Nasional

Meninggal dunia selepas beri kuliah Subuh

Foto: NSTP/Tangkap layar video

JOHOR BAHRU: Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Mustafa Omar meninggal dunia selepas selesai memberi ceramah kuliah Subuh di Masjid At-Taqwa, Taman Utama Pulai di sini, pagi tadi.

Pengarah JAINJ, Jamaludin A. Hamid berkata, Allahyarham dikatakan meninggal dunia pada 9 pagi, dipercayai akibat serangan jantung selepas pulang ke rumah.

“Allahyarham seorang yang baik peribadinya, masuk kerja sama dengan saya pada 1997, iaitu 26 tahun berkhidmat.

“Allahyarham seorang yang berilmu. Sebagai Ketua Penolong Pengarah bahagian Pengurusan Halal lebih kurang enam tahun, beliau cukup mahir dalam bidangnya,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pagi tadi, Allahyarham menyelesaikan tugas memberi ceramah Subuh sempena sambutan Maal Hijrah di masjid berkenaan yang disiarkan secara langsung menerusi akaun Facebook masjid.

Di akhir ceramahnya, Allahyarham sempat berpesan mengenai kematian dengan menyatakan ia pasti berlaku dan mengingatkan jemaah supaya tidak berbangga dengan harta kerana hanya amal ibadat dapat mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Allahyarham Mustafa selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Batu 6, Bakri, Muar, hari ini.

Loading...
Terkini