Oleh: Zulfakhri Shamsul Ariffin
KUALA LUMPUR: Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) warganegara India, Vijaya Lakshmi Gali, 48, yang menjadi mangsa kejadian tanah jerlus di persimpangan Jalan Melayu berhampiran Masjid India dihentikan.
Operasi yang berlangsung selama 9 hari itu dimaklumkan tamat dalam satu sidang media hari ini oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) warganegara India, Vijaya Lakshmi Gali, 48, yang menjadi mangsa kejadian tanah jerlus di persimpangan Jalan Melayu berhampiran Masjid India dihentikan. pic.twitter.com/ZrdTN5hBiX
— Buletin TV3 (@BuletinTV3) August 31, 2024
Beliau kemudian bertemu dengan semua anggota terlibat yang terdiri daripada pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Dalam pertemuan itu, beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam usaha mencari dan menyelamat mangsa.
Tinjauan kru Buletin TV3 mendapati pusat kawalan operasi di kawasan berkenaan ditutupi dengan kanvas biru oleh pihak berkuasa seusai penamatan operasi yang dibuat oleh Dr Zaliha.
Hasil tinjauan turut mendapati beberapa kenderaan anggota keselamatan terlibat bergerak keluar dari kawasan operasi.
Untuk rekod, mangsa dilaporkan terjatuh dalam insiden terbabit 24 Ogos lalu kira-kira jam 2 petang.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang merakam kejadian berkenaan kemudian tular di media sosial.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.