Oleh: Fahmi Tajuddin
PETALING JAYA: Struktur kawasan insiden mendapan tanah di Masjid India Jumaat lalu bukan berasaskan batu kapur seperti yang didakwa oleh segelintir pihak di media sosial.
Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Datuk Zamri Ramli, menolak dakwaan itu dan berkata, pemerhatian awal JMG sebagai salah satu entiti penyiasatan insiden itu mendapati kejadian berkemungkinan berpunca daripada kombinasi faktor aktiviti manusia dan perubahan cuaca.
Katanya, faktor aktiviti manusia seperti penyelenggaran utiliti bawah tanah, manakala faktor cuaca merujuk kepada curahan hujan yang tidak normal di lokasi berkenaan.
“Task force sudah diwujudkan, dan kami sedang mendapatkan maklumat lengkap. Berdasarkan kedudukan geologi, kawasan tersebut tidak dilandasi batu kapur, menunjukkan terdapat faktor-faktor lain yang bukan semula jadi,” kata Zamri.
Menurut Zamri, kajian menunjukkan bahawa hanya 30 peratus daripada Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur.
Bagaimanapun, ia tidak menjadi halangan untuk pembangunan di kawasan tersebut.
“Kalau kita tengok rekod dan peta geologi cuma 30 peratus sahaja KL ini di dasar batu kapur. Bukan keseluruhan KL, saya nampak banyak dalam media sosial menyatakan keseluruhan KL tapi itu adalah tidak tepat,” katanya.
Dalam konteks pembangunan, beliau menegaskan di Kuala Lumpur, segala aspek dan pelan pembangunan yang direkodkan adalah mengikut amalan kejuruteraan yang ditetapkan.
Bagaimanapun, beliau mengakui pemantauan dan penyelenggaran yang lebih kerap dan teliti boleh dilakukan secara rentas agensi.
“Pembangunan KL ini sebenarnya dia sudah mengikut amalan kejuruteraan yang baik..setiap pembangunan yang kita rancang mengambil kira pandangan geologi dari sudut kejuruteraan, apa yang perlu dipertingkat adalah pemantauan dan penyelenggaraan.
“Semua pembangunan boleh dijalankan dengan syarat dia mengambil kira amalan kejuruteraan yang baik dalam membangunkan kawasan-kawasan yang mempunyai kekangan geologi yang tinggi. Sekiranya di kawasan batu kapur, boleh dijalankan dengan syarat, kita mengambil kira mendapat data yang lengkap,” tambahnya lagi.
Sebelum ini, dakwaan tular di media sosial menyatakan bahawa struktur bawah tanah Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur dan kurang ketahanan, menyebabkan kebimbangan dalam kalangan orang ramai.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.