comscore
Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: Selaman ke lokasi objek tersekat berdepan kesukaran

KUALA LUMPUR: Dua anggota Pasukan Penyelam di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) berdepan situasi mendebarkan ketika melakukan selaman awal pagi ini bagi mencari wanita warga India yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini, Jumaat lepas.

Berdasarkan pemerhatian di lokasi, kedua-duanya yang lengkap berpakaian skuba turun ke lubang itu pada 3.06 pagi dengan diawasi rapi oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR) yang lain.

Selaman itu dilakukan selepas JBPM mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 meter (m) semalam.

Bagaimanapun, tidak sampai setengah jam, mereka ditarik naik menggunakan untuk keluar dari lubang berkenaan dengan bantuan anggota lain sebelum dinyahkuman dan dibersihkan.

Ketika dihampiri Bernama, seorang daripada penyelam terbabit sempat memaklumkan secara ringkas bahawa mereka tidak dapat menghampiri lokasi objek tersekat disebabkan keadaan arus air di dalam lurang kumbahan itu.

Setakat 4.30 pagi ini, tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan oleh JBPM kepada pihak media yang setia menanti sejak tengah malam tadi berhubung usaha terbaharu SAR itu.

Semalam, Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JBPM Datuk Ahmad Izram Osman berkata, pasukannya mengesan halangan berupa objek yang tersekat di antara lokasi tanah jerlus dan lurang kumbahan kedua iaitu terletak kira-kira 80 m.

Beliau berkata, dapatan itu diperoleh menerusi pengesanan oleh dua anjing Unit Pengesan (K9), Denti dan Frankie, yang dibawa ke lokasi kejadian pada petang Selasa selain pengesanan kamera.

Susulan itu, kerja-kerja menyedut air kumbahan dilakukan lewat malam tadi bagi memudahkan pergerakan penyelam dengan dibantu oleh 75 anggota yang mengawal jentera dan logistik.

Insiden tanah jerlus itu menyebabkan seorang wanita dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, dari Kuppam, Andhra Pradesh, India, hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam 8m dengan operasi SAR memasuki hari ketujuh hari ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini