Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
KUALA LUMPUR: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita warganegara India, Vijayaletchumy, 48, yang terjatuh ke dalam tanah jerlus sedalam lapan meter di Jalan Masjid India, ibu negara, memasuki hari keenam hari ini.
Tinjauan di lokasi mendapati, pasukan dilihat mengadakan perbincangan dan penugasan untuk melaksanakan SAR seawal pukul 8 pagi.
Unit Media Jabatan Perancangan Korporat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menerusi satu kenyataan memaklumkan, pasukan SAR akan meneruskan kerja-kerja pencarian mangsa dengan
memberikan tumpuan di kawasan kejadian.
Operasi pencarian bersambung pada hari ini selepas ditangguhkan pada jam 10 malam ekoran hujan lebat.
Pada masa yang sama, kerja–kerja Ground Penetrating Radar (GPR) oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) bagi penilaian integriti tanah di laluan saluran kumbahan akan diteruskan dan dijangka selesai pada hari ini.
Sementara itu, tinjauan Buletin TV3 di loji Indah Water Konsortium (IWK) Pantai Dalam juga mendapati, pihak bomba tiba di sini pada jam 9:07 pagi, bagi menyambung semula operasi SAR yang ditangguhkan petang semalam.
Berdasarkan tinjauan, tidak banyak pergerakan dirakam pada pagi ini di loji tersebut.
Difahamkan, kerja-kerja SAR di IWK Pantai Dalam akan bermula selepas mendapat isyarat dari pasukan di Jalan Masjid India.
Dalam kejadian pada pagi Jumaat lalu, mangsa dikenali sebagai Vijayaletchumy, 48, hilang dipercayai terjatuh ke lubang sedalam lapan meter susulan insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.