Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mendapan tanah: Peralatan khas GPR terus digunakan sehingga mangsa ditemui

Kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) terus digunakan hari ini dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari wanita warga India, Vijaya Lakshmi Gali.

Oleh: Mas Zharif Zhafri Aziz Desa

KUALA LUMPUR: Kaedah Ground Penetrating Radar (GPR) terus digunakan hari ini dalam membantu operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mencari wanita warga India, Vijaya Lakshmi Gali, 48, yang hilang dalam insiden tanah jerlus di Jalan Masjid India di sini.

Kerja-kerja menggunakan peralatan khas tersebut dilakukan Jabatan Mineral dan Geosains (JMG).

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Maimunah Mohd Sharif berkata, pasukan SAR terus fokus mencari mangsa sehingga ditemui.

“Saya menzahirkan ucapan terima kasih kepada Pasukan SAR yang tanpa mengenal jemu dan putus asa serta terus berusaha dari siang hingga ke malam mencari mangsa.

“Semangat dan iltizam yang ditunjukkan oleh seluruh pasukan SAR, amat dihargai.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar semua petugas terus diberikan kesihatan yang baik dan usaha ini dapat diselesaikan dengan segera.” katanya menerusi satu kenyataan.

Selain DBKL, Bomba dan Polis, Jabatan Kerja Raya, Agensi Nuklear Malaysia serta pihak Indah Water Konsortium (IWK) terus memberi kerjasama dalam operasi mencari mangsa 48 tahun itu.

Ketika tinjauan Buletin TV3, pihak JMG yang terdiri daripada lebih 7 pegawai sedang giat menggunakan sebuah peralatan khas yang dipercayai GPR dan melakukan penandaan pada permukaan jalan.

Bagaimanapun, pihak mereka tidak memaklumkan secara terperinci kerja yang dilakukan tersebut.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini