Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: Penduduk Taman Teja kosongkan kediaman sementara tunggu penyelesaian

Oleh: Kumaran Rajamoney

BATU GAJAH: Kejadian mendapan tanah yang berlaku di hadapan kediaman di Lorong Teja Utama, Taman Teja, Tanjung Tualang di sini pada Sabtu menyebabkan penduduk di sekitar kawasan berkenaan bimbang.

Mangsa Hamizah Abd Ghafar, 34, yang ditemui Buletin TV3 berkata, dia sempat menyedari pergerakan tanah di hadapan rumahnya dan segera bertindak menyelamatkan diri.

“Pada mulanya saya terlihat pergerakan tanah pada bahagian paip di hadapan rumah. Saya segera memaklumkan pada suami.

“Kejadian berlaku begitu cepat. Saya segera menyelamatkan diri bersama anak menggunakan laluan belakang sementara suami membawa keluar kereta yang diletakkan di hadapan. Buat masa ini, saya memang takut untuk terus tinggal di sini, terutamanya dengan keadaan cuaca yang tidak menentu,” katanya.

Kebimbangan sama disuarakan penduduk di sekitar kawasan itu yang turut berpindah sebagai langkah berjaga-jaga.

“Rumah saya tidak jauh dari tapak kejadian. Cuma dua pintu. Kalau cuaca hujan berterusan, rumah saya juga berhadapan risiko sama.

“Pihak bomba semalam sudah menasihatkan kalau boleh jangan duduki rumah ni lah, kalau  ada bunyi keluarlah. Tapi lebih baik kita keluar sebelum berlaku,” kata Hussin Mumim, 57.

Terdahulu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad memaklumkan pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu kira-kira 7.18 malam tadi.

Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Batu Gajah bergegas ke lokasi kejadian dan mendapati berlaku mendapan tanah di hadapan empat rumah di taman perumahan berkenaan.

Mangsa yang terjejas telah mengosongkan kediaman mereka.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini