Oleh: Siti Khadijah Jaafar
KUALA LUMPUR: Penamatan operasi mencari dan menyelamat SAR, wanita warganegara India di Jalan Masjid India ibu negara telah dimaklumkan kepada keluarga mangsa.
Menteri Wilayah Perseketuan Dr Zaliha Mustafa berkata, keluarga mangsa juga telah bersetuju dan menerima keputusan itu.
“Saya telahpun berbincang dengan kedutaan India dan beliau telah berikan penghargaan ke atas usaha yang telah kita laksanakan sejak hari pertama lagi.
“Dan beliau faham dalam keadaan kesungguhan yang dilakukan oleh pihak SAR dan beliau juga memahami jika kita perlu mengambil keputusan untuk hentikanya,” katanya.
Selain itu pihaknya juga akan turut membantu keluarga mangsa dalam urusan lanjutan visa sekiranya ada keperluan untuk berbuat demikian.
“Setakat ini kita sambung sebulan dan kalau perlu mereka perlukan tambahan kita akan bantu,” katanya kepada pemberita sewaktu sidang media di Jalan Masjid India petang tadi.
Kerajaan juga menyediakan khidmat kaunselor bagi memberikan sokongan psikologi kepada keluarga mangsa ketika berdepan detik sukar ini.
Dalam pada itu, kerajaan juga sedia mempertimbang memberi pampasan kepada keluarga terbabit.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.