Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diarah segera panggil ‘Raja Bomoh’

 

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan diminta memanggil Ibrahim Mat Zain atau digelar ‘Raja Bomoh’ dengan segera bagi memberikan nasihat tentang batas akidah dan iman serta tidak terjebak dalam amalan yang membawa kepada penghinaan kepada agama Islam.

Arahan itu dikeluarkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar susulan kegelisahan umat Islam terhadap kehadiran individu tersebut di lokasi pencarian mangsa tanah jerlus di Jalan Masjid India, ibu negara semalam.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) menyeru umat Islam supaya tidak terpengaruh dengan apa-apa aktiviti ritual yang bertentangan akidah Islam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam, Ibrahim hadir ke lokasi pencarian mangsa tanah jerlus dan memberikan tawaran untuk membantu mencari mangsa.

Ibrahim turut dilihat merenjis air ‘istimewa’ di sekitar lokasi berhampiran kejadian.

Dalam kejadian tanah jerlus pada Jumaat lalu, seorang wanita dikenali sebagai Vijaya Lakshmi Gali, 48, dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India.

Mengulas lanjut, Mohd Na’im berkata, Ibrahim telah didakwa di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di bawah Seksyen 7(a) Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-wilayah Persekutuan) 1997 (Akta 559) pada 2017.

Dia didakwa kerana kesalahan menghina Islam atau menyebabkan Islam dipandang hina dan membuat pengakuan bersalah.

“Pada masa yang sama, Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan telah memerintahkan individu tersebut menjalani konsultasi akidah di bawah pengawasan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan mengikut Seksyen 129 Akta Tatacara Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 (Akta 506),” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini