comscore
Tumpuan :
Nasional

Mendapan tanah: Kita ‘lost the battle but we won the war’ – Bomba

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur menyifatkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa tanah mendap selama sembilan hari di Jalan Masjid India telah dilakukan sehabis baik biarpun pengakhirannya bukan seperti yang diharapkan.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat berkata, secara puratanya, seramai 150 anggota penyelamat terlibat setiap hari di dalam operasi SAR ini.

“Terima kasih kepada seluruh pasukan SAR. Kesimpulannya sepanjang sembilan hari, kita ‘lost the battle but we won the war’. Keseluruhannya kita menang dan hari ketujuh kita memang ‘all out’,” katanya dalam segmen Malaysia Hari Ini, pagi semalam.

Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Rozihan Anwar Mamat.

Mengimbas semula operasi yang bermula pada 23 Ogos lalu, Rozihan Anwar berkata, cabaran terbesar mereka bermula pada hari kedua apabila insiden itu mendapat liputan dunia terutama di India.

“Cabaran terbesar bermula pada hari kedua. Bila ia menjadi liputan dunia, setiap strategi, setiap taktikal yang diatur perlu dilihat dari pelbagai aspek supaya tindakan kita tidak akan dipertikaikan oleh pelbagai pakar di luar sana

“Ini cabaran pada kita setiap malam sebelum memulakan prosedur pada keesokan hari,” tambahnya.

Selain itu, cabaran lain adalah menjelang waktu ‘golden time’ iaitu di antara pukul 2 pagi hingga 4 pagi.

“Pukul 2 pagi, paras air dalam saluran paip menurun dan pada pukul 3 pagi ia berada pada tahap terendah sebelum mula meningkat semula sekitar pukul 4 pagi.

“Jadi dalam dua jam ‘golden time’ itu, kita akan memaksimumkan aktiviti operasi SAR,” katanya.

Dalam tempoh sembilan hari selama 206 jam, pasukan SAR telah melalui ketiga-tiga fasa berpandukan kepada International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG).

“Fasa terakhir, pasukan SAR akan serahkan kes ini kepada pihak polis dan pihak polis akan buka kes siasatan orang hilang,” ujarnya lagi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa memaklumkan operasi SAR wanita warga India yang terjatuh di lokasi kejadian dihentikan dan kini memasuki fasa ‘search and recovery’.

Pada 23 Ogos lalu, seorang wanita dikenali sebagai G Vijaya Lakshmi, 48, berasal dari Kuppam, Andhra, India hilang selepas terjatuh ke lubang sedalam lapan meter di Jalan Masjid India di sini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini